KUALA LUMPUR: Persatuan Tenis Malaysia (Tennis Malaysia) pada Ahad secara rasminya melancarkan pelaksanaan sistem rating pemain tenis dunia yang baharu Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) untuk digunakan di negara ini.

Presiden Tenis Malaysia Mirzan Mahathir berkata ITF World Tennis Number merupakan sistem rating pemain yang terbaik, yang membolehkan ukuran pemain secara tepat dibandingkan dengan pemain dari seluruh dunia, termasuk negara-negara utama dalam tenis seperti Great Britain, Denmark, Ireland dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata sistem ini akan dilaksanakan dalam mana-mana kejohanan dianjurkan di Malaysia untuk memaksimumkan keberkesanannya.

"Kita akan aturkan kejohanan menggunakan sistem ini, supaya ia untuk tahap tertentu atau pemain, dan ia tidak bergantung sama ada pemain itu remaja lelaki, remaja perempuan, atau lelaki atau perempuan, ia adalah mengenai tahap pemain dan juga kebolehan mereka.

"ITF World Tennis Number adalah kedudukan ranking dunia, Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) sedang melaksanakannya di AS dan jika kita laksanakan sistem ini, ia akan dapat bantu dedahkan pemain kita, untuk seluruh dunia melihat keupayaan mereka," katanya pada sidang media pelancaran 'ITF World Tennis Number' di sini semalam.

Mirzan berkata ITF World Tennis Number merupakan satu sistem rating paling maju dan tepat dengan kebolehan pemain tenis dunia, dan Malaysia menjadi negara ketiga di Asia untuk melancarkan sistem rating yang baru.

Beliau berkata Tenis Malaysia telah bekerjasama rapat dengan Persekutan Sukan Antarabangsa (IF) dalam projek ini sejak pertengahan 2020 dan kini telah bersedia untuk menggunakan sistem rating dunia untuk Tenis Jelajah Remaja Malaysia dan Sirkit Kebangsaan pada 2023.

Oleh sebab itu Tenis Malaysia akan menetapkan nombor tenis ITF menerusi platform Bounx Sport dengan data pemain boleh dilihat di LTAM.my dan menerusi sistem kejohanan BOUNX.

-- BERNAMA