Thailand saksi legasi keluarga Ghazali

Dari kiri: Elias, Mia, Jojo dan Miki berkecimpung secara serius dalam sukan Muay Thai. Foto Agensi/Sinar Harian
DALAM sukan tempur, bakat mampu mencuri tumpuan, namun kesinambungan prestasi itulah yang membina keyakinan.
Ringkasan AI
- Prestasi cemerlang adik-beradik Ghazali dalam sukan tempur di Thailand menarik perhatian, membina rangkaian kemenangan yang membanggakan.
- Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo) menunjukkan kekuatan dan kematangan dalam kemenangan di ONE Championship, menunjukkan kesedaran akan tanggungjawab yang besar.
- Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (Miki) dan Elias Ghazali Zulfikar turut menonjol dengan kemenangan di Siri Dunia Rajadamnern, menunjukkan potensi besar dalam Muay Thai bagi keluarga Ghazali.
Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo), Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (Miki), Elias Ghazali Zulfikar dan Emylia Lynn Ghazali Zulfikar (Mia) membina satu rangkaian kejayaan yang jarang berlaku dalam sukan tempur negara.
Bagi Jojo, 19, kemenangan di ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok pada Jumaat lalu adalah kesinambungan kepada reputasi yang sudah terbina.
Di pentas ONE Championship yang menghimpunkan petarung muda terbaik Asia, Jojo tidak hanya mengharapkan kekuatan atau aksi dramatik.
Di bawah tunjuk ajar legenda Muay Thai, Superbon Singha Mawynn dan Nong-O Hama, pergerakannya lebih tersusun, tenang dan matang, menunjukkan dia sedar setiap perlawanan kini membawa tanggungjawab yang lebih besar daripada dirinya sendiri.
Miki, Elias pamer belang
Namun bahagian paling menarik terletak pada apa yang berlaku selepas itu.
Sehari kemudian di Siri Dunia Rajadamnern (RWS), Miki dan Elias turun ke gelanggang yang sarat sejarah dan tekanan.
Pentas RWS bukan tempat membina nama tetapi tempat menguji sejauh mana seseorang petarung itu benar-benar layak berada di peringkat tertinggi Muay Thai.
Miki yang membuat penampilan sulungnya di pentas RWS dengan kemenangan ke atas petarung Iran, Reza Dotielmi menerusi keputusan majoriti selepas pertarungan sengit tiga pusingan.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 itu mempamerkan aksi tersusun dan berani, khususnya pada pusingan ketiga apabila beberapa siri serangan siku tepat berjaya mengubah momentum perlawanan sebelum dia disahkan menang dengan keputusan 29-27, 29-27, 28-28.
Sementara itu, Elias turut membuktikan kualitinya apabila menewaskan petarung kelahiran Jepun, Haru Hakita dalam perlawanan berintensiti tinggi yang berlangsung seimbang.
Selepas dua pusingan awal berakhir seri, pertarungan terpaksa ditentukan menerusi pusingan penentuan.
Pada pusingan berkenaan, Elias lebih banyak melancarkan serangan bersih dan efektif berbanding lawannya, sekali gus membolehkan dia meraih markah lebih tinggi untuk mengesahkan kemenangan.
Mia apa kurangnya
Kemudian muncul satu lagi detik yang melengkapkan keseluruhan naratif adik-beradik Ghazali di Thailand.
Pada 1 Februari lalu, di Nakhon Ratchasima, Mia menewaskan wakil tuan rumah selepas lima pusingan sengit melalui keputusan mata.
Pada usia 14 tahun, tekanan biasanya menjadi halangan tetapi Mia menunjukkan kawalan diri dan keyakinan luar biasa bagi seorang remaja.
Difahamkan, Mia kini disebut-sebut tersenarai antara atlet muda Sarawak yang dijangka membawa pulang pingat emas di Sukma Selangor 2026 dan berpotensi mewakili negara di Sukan SEA 2027.
Abang-abangnya pula iaitu Jojo, Elias dan Miki masing-masing pernah meraih pingat emas di Sukma sebelum ini, menjadikan keluarga Ghazali sebuah nama yang sukar dipinggirkan dalam sukan tempur negara.
Apa pun, Jojo, Miki, Elias dan Mia menunjukkan bahawa legasi sukan boleh dibina bukan hanya melalui satu nama tetapi melalui sokongan dan usaha kolektif adik-beradik.
Jika satu masa dahulu anak-anak Sidek menjadi ikon badminton negara, tidak mustahil suatu hari nanti nama keluarga Ghazali akan disebut sebagai keluarga yang mengangkat Muay Thai Malaysia ke tahap lebih tinggi. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


