PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola menyatakan bahawa tiada siapa yang mempercayai pasukannya mampu melakukan sesuatu berdepan Liverpool awal pagi Jumaat nanti.

Keyakinan terhadap City katanya semakin hilang susulan beberapa siri kekalahan pada bulan Disember tempohari.

“Saya tahu hari ini tiada siapa pun percayakan kami.

“Semua orang berkata tentang ‘jika kami kalah’ - tetapi kami boleh menang,” katanya

City tewas kepada Crystal Palace dan Leicester City sebelum mendapatkan kembali rentak kemenangan dengan menundukkan Southampton, meletakkan mereka kini tujuh mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Untuk rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan, City gagal untuk menang empat pertemuan terakhir dengan The Reds.

Sementara anak buah Jurgen Klopp berada pada momentum dan moral terbaik, cemerlang memenangi kesemua sembilan perlawanan terakhir mereka dalam saingan Liga Perdana.

“Ketika ini mereka adalah pasukan terbaik di Eropah, dalam konsistensi dan cara mereka mengawal setiap butiran dalam permainan,” kata pengendali berbangsa Catalan itu.

Namun Guardiola tetap gembira dengan pencapaian pasukannya musim ini dan tidak melihat perlunya sebarang penambahan pada jendela perpindahan Januari ini.

Biarpun City telah memenangi tiga gelaran Liga Perdana dalam tempoh tujuh tahun lepas dan Liverpool tidak pernah memenanginya sejak 1990, Guardiola merasakan sejarah kelab Anfield itu yang dahagakan kejayaan tidak dapat dibanding dengan kelabnya, yang telah berbelanja GBP1.1 bilion sejak diambil alih Sheikh Mansour pada 2018.

“Sejarah bukanlah 10 tahun. Ia jauh lebih panjang daripada itu.

“Anfield adalah Anfield. Sejarahnya di situ. Liga Juara-Juara Eropahnya di situ. Apabila pemainnya menyarungkan jersi itu, mereka tahu apa yang perlu dipertahankan. Kami cuba untuk membina sejarah itu.

“Ia satu soalan untuk Liverpool mengapa mereka tidak memenanginya untuk sekian lama tetapi saya dapat merasakan apa yang mereka rasa. Saya memahaminya. Ia sukar untuk ditangani,” jelas Guardiola.

Manchester City akan bertemu Liverpool di Stadium Etihad pada jam 4 pagi Jumaat (waktu Malaysia), disifatkan sebagai perlawanan paling penting Liga Perdana Inggeris musim ini.