KUALA LUMPUR: Kehadiran semula bekas ketua pasukan Safiq Rahim dalam skuad Harimau Malaya tidak disertakan 'tugas istimewa' oleh ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon.

Sebaliknya, Safiq, 35, berpendapat pengendali dari Korea Selatan itu menyenaraikannya bagi latihan pusat skuad kebangsaan agar beliau dapat menyumbangkan sesuatu kepada pasukan bagi menghadapi perlawanan akan datang di Singapura.

"Tiada apa yang istimewa kerana kebanyakan pemain dipilih menyertai skuad ini mempunyai kelebihan masing-masing dan tugas yang ditetapkan. Jadi tidak salah untuk saya dapat memberikan sesuatu dalam pasukan.

"Apa yang pasti saya sifatkan diri saya ini baharu sama seperti pemain muda lain yang berada dalam skuad ini," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) tersenarai dalam kalangan 30 pemain yang dipilih Pan Gon menjelang aksi Siri Tiga-Negara FAS 2022 di Singapura minggu depan sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun.

Sebelum ini Pan Gon menyatakan mempunyai alasan tersendiri mengapa beliau menyenaraikan Safiq dalam skuad negara.

Kali terakhir Safiq menyarung jersi kebangsaan adalah pada 2018 apabila menggalas tugas selaku ketua pasukan ketika Harimau Malaya mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Mongolia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Arkitek tengah itu pernah mengumumkan persaraan daripada pentas bola sepak antarabangsa pada 2016 namun kembali memperkuatkan skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Nelo Vingada pada 2017.

Skuad Harimau Malaya dijadual berdepan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac di Stadium Nasional Singapura, sebelum bertemu pasukan Liga Singapura Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.

-- BERNAMA