Penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Teknologi Garisan Gol (GLT) tidak akan mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Kedua-dua sistem teknologi itu yang kini sedang diguna secara meluas dalam kancah bola sepak dunia terutamanya Liga Perdana Inggeris (BPL), memerlukan kos perbelanjaan tinggi selain persediaan yang begitu rapi.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan kos GLT lebih tinggi berbanding VAR, dan VAR yang mula digunakan sekitar penghujung 2017 masih mempunyai kelemahan, selain turut menjadi polemik pasukan terbaik dunia.

"VAR itu satu perkara 'trendy' untuk diperkatakan, tetapi adakah ia satu penyelesaian dan jika anda tanya kepada pasukan BPL di England, adakah VAR satu penyelesaian? Sampai isu ketiak pun kita boleh pertikaikan, jadi saya tidak rasa ia satu penyelesaian 100 peratus, tetapi dalam sukan kita sentiasa akan ada perkara yang perlu di perdebatkan dan perubahan.

"Jika BPL liga nombor satu dunia pun ada masalah dengan VAR, apatah lagi kita nak tergesa-gesa dalam keadaan yang tidak bersedia. Dalam VAR, kursus dan prosesnya agak panjang, selain kedudukan kita ketika ini belum lagi tepat pada masanya untuk penggunaan VAR atau GLT," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM di sini, pada Rabu.

Menurut Stuart, kos penggunaan VAR dalam satu-satu perlawanan beberapa bulan lepas dianggarkan antara RM50,000 hingga RM100,000 dan nilai itu menunjukkan penurunan dari semasa ke semasa.

"Kos itu sedang turun di serata dunia akibat perkembangan teknologi. Dengan adanya lebih banyak pengguna dalam VAR dan banyak penyedia perkhidmatan yang boleh sediakan perkhidmatan, kita boleh tengok dalam masa terdekat, mungkin kalau kos itu dah sesuai, mungkin kita (FAM) boleh masukkan VAR dalam sistem kita," jelasnya.

Pada aksi final Piala Malaysia 2019, Sabtu lepas, antara Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) menyaksikan gol kedua JDT menerusi pemain sayap Muhammad Safawi Rasid, mengundang kontroversi sama ada bola telah melepasi garisan gol atau sebaliknya.

Gol hasil sepakan percuma tonggak skuad kebangsaan itu menggegar tiang dan melintas garisan gol Kedah, sebelum keluar dari pintu gol yang dikawal Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Namun pengadil perlawanan Nazmi Nasaruddin yang mendapatkan nasihat daripada penjaga garisan di belakang gol mengesahkan jaringan itu.

-- BERNAMA