KUALA LUMPUR: Tiga jaguh lebuh raya negara antara 120 peserta yang bakal menggegarkan Kejohanan Berbasikal Bukit (MTB) Kebangsaan 2023 selama tiga hari di Taman Cabaran, Putrajaya bermula Jumaat.

Selain Mohd Zamri Saleh dan adiknya Mohd Harrif, seorang lagi adalah Sofian Nabil Omar Mohd Bakri.

Pengerusi Jawatankuasa Berbasikal Bukit Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Mohd Saiful Abdul Jalil, berkata ketiga-tiga pelumba itu menyertai saingan cross country short circuit (XCC) iaitu antara acara baharu yang dipertandingkan pada MTB kali ini.

Katanya, kelibat pelumba handalan seperti Zulfikri Zulkifli, Ahmad Syazrin Awang Ilah dan Nur Assyira Zainal Abidin juga bakal mencuri tumpuan dalam saingan cross country olympic (XCO) elit lelaki dan wanita.

"Selain mahu menobatkan juara kebangsaan dalam setiap acara yang dipertandingkan, sudah tentu pelumba-pelumba utama yang bertanding mahu memperbaiki ranking mereka dalam senarai Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI)," katanya, dalam kenyataan di sini, semalam.

Sehubungan itu, Mohd Saiful berharap setiap pelumba utama negara dapat mencapai sasaran seperti mana yang ditetapkan kerana ranking UCI penting sebagai momentum apabila beraksi pada kejohanan di luar negara nanti

Mohd Saiful, yang juga pengurus skuad MTB negara, berkata semua ahli gabungan PKBM akan menghantar pelumba masing-masing untuk beraksi dalam empat disiplin yang dipertandingkan pada kejohanan kali ini XCO, downhill (DHI), XCC dan satu lagi acara baharu cross country eliminator (XCE).

Katanya, sebanyak 14 acara akan dipertandingkan melibatkan kategori lelaki dan wanita iaitu elit bawah 23 tahun, remaja, terbuka serta veteran.

Selain itu, Terengganu muncul pasukan negeri yang menghantar wakil paling ramai pada kejohanan kali ini iaitu 26 pelumba.

-- BERNAMA