TUDUHAN memandu di bawah pengaruh (DUI - driving under influence) yang dikenakan terhadap juara golf dunia 14 kali, Tiger Woods, ditangguhkan sementara untuk beberapa minggu.

Mahkamah Palm Beach County merekodkan tuduhan asal bertarikh 5 Julai telah dibatalkan dan pendengaran tuduhan semula akan dilakukan pada 9 Ogos serta dipersetujui oleh hakim, Sandra Bosso Pardo.

Woods ditahan pada 29 Mei lalu dan didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh selepas ditemui sedang tidur di bahagian pemandu dalam kereta model Mercedes miliknya.

Kereta tersebut menunjukkan beberapa kerosakan di bahagian bumper, tayar dan lampu belakang.

Woods yang memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Golf Profesional (PGA) sebanyak 11 kali itu telah gagal dalam ujian respons kesedaran diri yang dilakukan terhadapnya, namun alat ujian pernafasan tidak mengesan sebarang kesan alkohol.

Woods juga menafikan dirinya berada di bawah pengaruh dadah, sebaliknya menyifatkan ia adalah kesan dari ubat-ubatan yang diambil.