Tujuh pemain ping pong negara tidak menolak kemungkinan untuk meminta campur tangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, susulan pengguguran nama mereka ke Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini, oleh Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) atas alasan disiplin.

Wakil pemain, Ho Ying menegaskan kesemua mereka tidak pernah berhadapan masalah disiplin dan selalu menjalani latihan selain menyertai beberapa pertandingan di luar negara, walaupun mempunyai komitmen lain termasuk terikat dengan jadual pengajian di tempat masing-masing.

Pemain berusia 24 tahun itu mendedahkan kesemua pemain berkenaan menerima dua surat tunjuk sebab daripada TTAM pada Ogos lepas kerana membuat aduan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung kelemahan TTAM dalam proses pemilihan pemain ke Sukan SEA 2019, selain kegagalan persatuan menyediakan kemudahan latihan yang lebih baik kepada pemain negara.

"Bagi saya, alasan tidak hadir ke sesi latihan dan masalah disiplin tidak wujud, kerana kami semua patuh kepada arahan persatuan selama ini, dan saya tidak menolak kemungkinan ini bermotifkan politik.

"Saya hanya mengetahui mengenai pengguguran nama kami daripada menyertai Sukan SEA 2019 daripada kawan-kawan saya, sekembalinya daripada menyertai Kejohanan Ping Pong Asia Tenggara di Jakarta, baru-baru ini," katanya pada sidang media khas di sini, pada Sabtu.

Ho Ying yang kini menuntut di sebuah kolej swasta di Subang Jaya turut mendedahkan, TTAM dikatakan mengugut tujuh pemain berkenaan untuk menandatangani satu surat khas atau digugurkan terus daripada mewakili negara pada masa akan datang.

Beliau yang sudah beraksi bersama skuad kebangsaan sejak 11 tahun lepas, mendakwa akan berlaku percanggahan kontrak dengan MSN, memandangkan beliau serta dua pemain lain iaitu Karen Lyne dan Alice Chang Li Sian, masih berada di bawah Program Podium yang dikelolakan MSN.

"MSN sudah menyusun jadual pertandingan kepada kami bertiga sepanjang tahun ini dan adalah tidak wajar untuk TTAM mendesak kami menandatangani surat berkenaan.

"Tindakan TTAM menggugurkan nama kami ke Sukan SEA 2019 seolah-olah 'membunuh' karier kami dan saya amat berharap untuk memenangi pingat pada Sukan SEA," tegas Ho Ying.

Selain Ho Ying, Karen dan Alice, empat pemain lain yang digugurkan oleh TTAM ke Sukan SEA 2019 adalah Leong Chee Feng, Choong Javen, Tee Ai Xin dan Muhamad Ashraf Haiqal Muhamad Rizal.

Bernama difahamkan TTAM mengambil keputusan untuk menggantikan tujuh pemain berkenaan dengan pemain muda daripada skuad kedua ke Sukan SEA 2019.

Sukan SEA 2019 akan berlangsung dari 30 Nov sehingga 11 Dis, melibatkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Clark dan Subic. -- Bernama