Tujuh tanpa bolos, sembilan berturut-turut menang, Arsenal Arteta sudah di tahap lain

Viktor Gyokeres dan Declan Rice masing-masing meledak pada separuh masa pertama untuk memastikan Arsenal menjarakkan kelebihan tujuh mata di puncak liga. - Gambar Reuters
ARSENAL terus unggul dengan kemenangan kelima berturut-turut dalam Liga Perdana selepas menundukkan Burnley 2-0 di Turf Moor, awal pagi Sabtu.
Viktor Gyokeres dan Declan Rice masing-masing meledak pada separuh masa pertama untuk memastikan Arsenal menjarakkan kelebihan tujuh mata di puncak liga, satu kemenangan yang menegaskan keampuhan dan kestabilan skuad Mikel Arteta ketika ini.
Gol pembukaan hadir hasil satu lagi set-piece yang menjadi senjata utama The Gunners musim ini. Sepakan sudut Rice pada minit ke-14 disambut Gabriel Magalhaes sebelum Gyokeres menanduk masuk dari jarak dekat, jaringan keempatnya dalam saingan liga.
Burnley yang cuba bertahan dengan disiplin dikejutkan sekali lagi pada minit ke-35.
Bermula daripada situasi lontaran ke dalam lawan, Arsenal melancarkan serangan balas pantas apabila Gyokeres melorongkan hantaran silang menakjubkan ke arah Leandro Trossard, yang kemudian melambungkan bola tepat ke kepala Rice untuk gol kedua yang cukup berkualiti.
Babak kedua berlangsung dengan tempo lebih perlahan, namun Arsenal kekal mengawal rentak permainan tanpa banyak tekanan berbahaya daripada tuan rumah.
Walaupun Gyokeres tidak kembali selepas rehat, rentetan dominasi di babak pertama sudah cukup untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik pelawat.
Dubravka beberapa kali menyelamatkan gawang Burnley termasuk menafikan percubaan Saka dan Trossard sementara percubaan terakhir Marcus Edwards melalui sepakan percuma yang mengenai tiang hanyalah hiburan lewat permainan buat penyokong tuan rumah.
Arsenal serlahkan dominasi dan disiplin taktikal
Kemenangan ini sekali lagi membuktikan bahawa Arsenal bukan sekadar pasukan yang bergantung kepada set-piece semata-mata.
Gol pertama mungkin datang daripada situasi bola mati, tetapi jaringan kedua menunjukkan tahap kecerdikan taktikal dan kualiti teknikal yang tinggi dari Gyokeres ke Trossard, kemudian disudahkan Rice dengan tandukan padu.
Arteta pasti gembira melihat pengaruh besar dua tonggak utamanya.
Gyokeres pembelian besar musim panas lalu terus menunjukkan nilainya sebagai penyerang serba lengkap, manakala Rice sekali lagi mempamerkan prestasi kelas dunia di tengah padang.
Tambahan pula, kemenangan ini menandakan empat perlawanan liga berturut-turut tanpa bolos, sesuatu yang kali terakhir dicapai pada 2014 ketika Arteta masih bergelar pemain.
Kini, Arsenal melakar tujuh perlawanan tanpa dibolosi dalam semua kejohanan menyamai rekod 1987 dan hanya satu lagi perlawanan untuk menyamai rekod kelab pada 1903 (lapan perlawanan tanpa bolos).
Burnley tumpul, gagal uji Gunners
Burnley pernah menunjukkan ketahanan menentang gergasi seperti Manchester United dan Liverpool, tetapi kali ini mereka gagal mengulangi semangat juang sama.
Gol awal Arsenal memadam keyakinan tuan rumah yang kelihatan goyah dan tidak mampu mengawal rentak lawan.
Pasukan kendalian Scott Parker langsung tidak mencipta sebarang percubaan tepat pada separuh masa pertama, dan seandainya bukan kerana aksi cemerlang Dubravka, kedudukan mungkin lebih parah.
Namun, dua kemenangan penting sebelum ini ke atas Leeds United dan Wolverhampton Wanderers memberi sedikit ruang bernafas buat Burnley, yang kini empat mata di atas zon penyingkiran. Parker akan berharap skuadnya segera bangkit apabila berdepan West Ham minggu depan.
Momentum Arsenal semakin kukuh
Dengan kemenangan ini, Arsenal kini mencatat sembilan kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan, rekod terbaik sejak 2018 di bawah Unai Emery.
Lebih mengagumkan, mereka melakukannya tanpa melepaskan sebarang gol dalam tujuh perlawanan terakhir.
Arteta mungkin tidak mahu terlalu awal membicarakan soal kejuaraan, tetapi buat masa ini, Arsenal kelihatan pasukan paling tersusun, paling yakin, dan paling sukar ditembusi di England.
Perlawanan seterusnya menentang Sunderland dalam liga selepas aksi Eropah di Prague bakal menjadi peluang sempurna untuk mengekalkan momentum yang kini benar-benar berapi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


