SPORTS
Tukar jenama Sukan SEA kepada Sukan ASEAN, perkukuh jati diri serantau - Nazir Razak

Nazir berkata, penjenamaan semula itu dapat memperbaiki struktur penganjuran temasya sedia ada yang kerap dikritik kerana terlalu bergantung kepada kemampuan dan cita rasa negara penganjur. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) mencadangkan penjenamaan semula temasya Sukan SEA kepada “Sukan ASEAN” bagi mempromosikan identiti serantau yang lebih kukuh.
Ringkasan AI
- ASEAN-BAC mencadangkan agar Sukan SEA dijenamakan semula sebagai "Sukan ASEAN" untuk memperkukuh identiti serantau dan menggalakkan penyertaan yang lebih menyeluruh.
- Antara 12 inisiatif utama yang dibentangkan termasuk pembangunan aplikasi perjalanan ASEAN dengan kerjasama AirAsia, serta pelbagai projek jangka panjang seperti Entiti Perniagaan ASEAN dan platform pertukaran digital.
- ASEAN-BAC akan mengadakan dialog rasmi dengan pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN, dengan harapan inisiatif ini dapat mempercepatkan integrasi ekonomi dan meningkatkan keterlibatan sektor swasta.
“Sudah tiba masanya kita tidak lagi melihat Sukan SEA sebagai acara antara negara-negara jiran secara bersaing, tetapi sebagai satu acara ASEAN yang menyatukan di bawah satu jenama yang lebih besar,” katanya ketika sidang media mengenai inisiatif ekonomi ASEAN-BAC, di sini, pada Selasa.
Katanya, penjenamaan semula itu juga dapat memperbaiki struktur penganjuran temasya sedia ada yang kerap dikritik kerana terlalu bergantung kepada kemampuan dan cita rasa negara penganjur.
“Dengan pengurusan bersama di peringkat ASEAN, kita boleh pastikan sukan yang dipertandingkan lebih standard, saksama dan relevan kepada semua,” katanya.
Beliau menambah, ASEAN-BAC juga kini bekerjasama dengan AirAsia untuk membangunkan satu aplikasi mudah alih khas bagi perjalanan dalam ASEAN, yang dijangka dilancarkan pada November ini.
“Kami mahu orang ramai menggunakan aplikasi ini ketika mengembara antara negara-negara ASEAN, bukan hanya dengan AirAsia, tetapi dengan mana-mana syarikat penerbangan. Ia akan menawarkan pelbagai promosi pelancongan dan turut memudahkan permohonan visa perjalanan,” katanya.
Nazir menambah, daripada 12 inisiatif utama yang sedang dilaksanakan, enam daripadanya merupakan projek legasi jangka panjang yang dijangka mengambil masa beberapa tahun.
Projek itu termasuk penubuhan Entiti Perniagaan ASEAN, Inisiatif Pasaran Modal Swasta ASEAN, Prospektus IPO ASEAN yang seragam, Kerangka Karbon Bersama ASEAN, platform pertukaran digital berpusat di Malaysia serta usaha meningkatkan mobiliti bakat melalui pembangunan kerangka visa yang fleksibel bagi membolehkan pelajar bekerja di mana-mana negara ASEAN.
“ASEAN-BAC juga akan mengadakan dialog rasmi bersama pemimpin-pemimpin ASEAN mengenai inisiatif-inisiatif ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung hujung bulan ini. Harapan kami, para pemimpin telah diberi taklimat yang mencukupi.
“Pelaksanaan dan susulan terhadap inisiatif ini amat penting. Jika kita hanya menunggu negara lain untuk bertindak dahulu, maka tiada apa yang akan berlaku. Kami percaya ASEAN boleh maju sekiranya kita mengambil langkah pertama. Jika negara lain melihat hasilnya berkesan, mereka akan ikut,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami