Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi tumpuan kepada sukan teras dalam program pembangunan kejurulatihan, kata menterinya Khairy Jamaluddin

"Secara keseluruhan, semua sukan teras akan mendapat tambahan jurulatih tetapi untuk pelan pembangunan sukan kebangsaan, saya terpaksa memberi lebih penekanan kepada sukan bola sepak," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kecergasan Kebangsaan 2013 dan 4th Malaysia Sports Trend and Games Expo di Seri Kembangan pada hari Sabtu.

Khairy turut berkata Institut Sukan Negara (ISN) akan mendapat tambahan 61 petugas tetap ke arah memperkasakan lagi fungsinya di bidang perubatan sukan untuk faedah atlet kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, memberitahu Bernama bahawa pertambahan jawatan akan memberi masa depan yang lebih terjamin kepada sebahagian besar petugas yang bertaraf kontrak.

"Kakitangan kita kini keseluruhannya berjumlah 379 orang termasuk di cawangan satelit di seluruh negara dan majoriti mereka berstatus kontrak," katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2014 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebanyak RM239 juta diperuntukkan untuk meneruskan kecemerlangan sukan merangkumi menaik taraf kompleks dan gelanggang sukan di negara ini.