Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengundurkan diri sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, PBNJ.

Keputusan itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Menerusi kenyataan rasmi kepada media pada Rabu, Tunku Ismail bertitah amat sukar buat baginda untuk mentadbir urusan PBNJ dan pada masa yang sama memegang gelaran Tengku Mahkota.

Lantas baginda kini akan memegang jawatan sebagai penaung dalam PBNJ.

Titah baginda lagi, ia memberi peluang untuk mentadbir urus PBNJ dalam asepk pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan dan pemain serta membuat keputusan yang lebih tepat berhubung sesuatu perkara.

Baginda turut merakam setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bola sepak Johor yang memberikan sokongan tidak berbatas kepada pasukan negeri itu.

Berikutan kekosongan itu, jawatan presiden PBNJ akan disandang Datuk Obet Tawil yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

Tunku Ismail kini sedang menjalani hukuman penggantungan enam bulan oleh FAM, selepas didapati melanggar artikel 88 statut badan induk itu.

Baginda dikenakan hukuman itu bulan lalu oleh Jawatankuasa Tattertib FAM,.selepas mengkritik tahap pengadilan Liga M.