JURGEN Klopp mendakwa ketua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sedang melakukan "jenayah" terhadap bola sepak dengan memaksa pasukan untuk kembali beraksi dalam tempoh 48 jam ketika saingan sehari selepas Hari Krismas.

Jadual perlawanan ketika Hari Krismas dan Tahun Baru sentiasa padat, dan pencabar Liverpool dalam persaingan takhta liga, Leicester City berdepan tugas rumit, bermula dengan pertemuan di laman sendiri dengan The Reds.

Selepas aksi yang bakal sepak mula hari ini, Leicester akan kembali beraksi di West Ham pula Sabtu ini.

Manchester United, Tottenham dan Everton antara kelab yang perlu beraksi dua kali dalam tempoh tiga hari selepas Hari Krismas, manakala Wolves dan Manchester City beraksi pada hari Jumaat dan Ahad.

City bertandang ke Wolves esok sebelum menerima kunjungan Sheffield United pada Ahad. Wolves, selepas menghadapi ujian berdepan skuad kendalian Pep Guardiola, mereka akan ke Anfield untuk berdepan Liverpool Ahad ini.

Klopp bagaimanapun percaya mereka yang bertanggungjawab menguruskan jadual perlawanan memilih untuk memekakkan telinga mengenai apa yang diperkatakan oleh pengurus.

"Tiada pengurus memiliki masalah mengenai saingan sehari selepas Hari Krismas. Tiada. Tetapi kami bermain pada 26 dan 28 hari bulan merupakan satu jenayah.Ia merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima namun ia berlaku di England. Tahun ini kami beraksi pada 26 dan 29 hari bulan dan ia seperti bercuti.

"Saya memahami mereka yang tidak mengeluh terhadap perlawanan ini, tetapi ia merupakan sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan.

"Tiada sebab untuk memberikan pasukan rehat kurang daripada 48 jam untuk menghadapi saingan EPL. Sememangnya kami boleh berkata apa sahaja tetapi tiada sesiapa yang benar-benar berminat mengenainya.

"Setiap tahun, jurulatih yang terlibat dalam perlawanan pada 26 dan 28 hari bulan... sains sukan tidak memberikan langkah untuk menangani bagaimana cara untuk menangani jadual padat ini.

"Seorang pemain memerlukan masa yang ditentukan untuk sekali lagi turun ke padang dan beraksi. Ia bergantung tetapi bukan sesuatu yang mudah untuk dijelaskan. Tetapi kami mengetepikan sepenuhnya perkara ini."

Klopp berkata saingan bola sepak yang dilangsungkan ketika Hari Krismas "akan menghadirkan masalah" di Jerman, tetapi memahami ia merupakan budaya bola sepak Inggeris.

Selepas memenangi Piala Dunia Kelab, Liverpool kini meletakkan sasaran untuk kembali dalam persaingan takhta liga bagi menambah lagi bilangan gelaran.

Mereka mendahului 10 mata ke atas Leicester dan memiliki kelebihan satu perlawanan tetapi menyedari cabaran yang sengit perlu dihadapinya.

Kemenangan Manchester City menjuarai liga dengan 100 dan 98 mata dalam dua musim sebelum ini menunjukkan kepada Liverpool apa yang perlu diusahakan untuk bergelar juara.

"Saya berasakan City telah meningkatkan lagi penanda aras dalam saingan EPL. Aksi konsisten amat penting dalam mereka telah membuktikannya sejak tiga musim yang lalu dan ia adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

"Anda tidak dibenarkan mengalami kekalahan. Sukar tetapi menjuarai EPL seharusnya bukan tugas mudah."