KUALA LUMPUR: Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bersetuju untuk memasukkan kembali kejohanan berbasikal lebuh raya Le Tour de Langkawi (LTdL), dijadualkan pada 23-30 Sept ini, ke dalam kalendarnya.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI Datuk Amarjit Singh mengesahkan perkara itu selepas mesyuarat jawatankuasa tersebut di Glasgow, semalam, seminggu selepas perlumbaan itu dikeluarkan daripada kalendar dunia.

"Saya secara jujurnya lega dengan kemasukan semula ini memandangkan ia melibatkan nama baik dan imej Malaysia secara umum dan khususnya dalam komuniti berbasikal di seluruh dunia. Saya memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dan syukur ia sudah diselesaikan," katanya dalam kenyataan.

Amarjit, yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), menyifatkan pertemuannya dengan Pengarah Sukan UCI Peter Van De Abelle dan bahagian lebuh raya kesatuan itu mengenai keperluan LTdL dimasukkan kembali ke dalam kalendar antarabangsa sebagai sangat positif.

Beliau telah mengemukakan bukti pembayaran oleh penganjur sebelum ini, Human Voayage, kepada beberapa pasukan yang mengadu kepada UCI mengenai bayaran penampilan dan perbelanjaan lain yang tidak dilunaskan.

Amarjit, yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia berkata atas permintaan beliau, UCI bersetuju untuk memasukkan semula LTdL dalam kalendar 2023, sementara menunggu pengesahan daripada pasukan-pasukan terbabit mengenai pembayaran.

"Situasi mengecewakan ini boleh dielakkan jika bayaran dibuat dalam garis masa yang ditetapkan kepada pasukan oleh penganjur sebelum ini.

"Saya menerima banyak pertanyaan secara peribadi minggu lepas daripada pelbagai Pro Teams selepas berita mengenai jelajah itu dikeluarkan daripada Kalendar UCI tersebar dan bertanya jika perlumbaan itu dibatalkan, saya memberi jaminan kepada mereka bahawa ia akan berlangsung seperti yang dijadualkan," katanya.

Minggu lepas, UCI mengeluarkan perlumbaan ProSeries itu daripada kalendar badan dunia tersebut disebabkan isu hutang penganjur.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab sebelum ini dilaporkan berkata penganjur LTdL 2019, 2020 dan 2022 belum menyelesaikan bayaran tertunggak berjumlah kira-kira RM1 juta yang tidak melibatkan hadiah wang tunai.

Edisi LTdL tahun ini bakal dianjurkan Majlis Sukan Nasional (MSN) dengan penyertaan 22 pasukan.

-- BERNAMA