SUKAN
UCL: Atletico Madrid menang bergaya, Griezmann cemerlang dengan gol ke-200

Antoine Griezmann meraikan kejayaan menjaringkan gol ketiga pasukan, sekali gus gol peribadi beliau ke-200, ketika perlawanan UCL antara Atletico Madrid dan Eintracht Frankfurt di Riyadh Air Metropolitano, Madrid, Sepanyol, 30 Sept 2025. REUTERS
ANTOINE Griezmann melakar sejarah tersendiri apabila menjaringkan gol ke-200 bersama Atletico Madrid, sambil membantu pasukannya membelasah Eintracht Frankfurt 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Wanda Metropolitano pada Selasa.
Atletico tampil bertenaga biarpun tanpa pengurus Diego Simeone yang digantung selepas insiden di Anfield. Disokong penyokong yang masih segar dengan kemenangan 5-2 ke atas Real Madrid dalam derbi hujung minggu lalu, Los Rojiblancos bermula garang dengan Giacomo Raspadori menyambar gol awal seawal minit ke-4.
Robin Le Normand menambah jaringan kedua sebelum Griezmann mencuri tumpuan pada masa kecederaan separuh masa pertama. Penyerang Perancis itu menyempurnakan hantaran Julian Alvarez untuk menggenapkan koleksi golnya kepada 200, sebelum meraikan detik bersejarah dengan mempamerkan jersi khas bertulis “200”.
Frankfurt cuba bangkit selepas rehat apabila rembatan Jonathan Burkhardt menewaskan Jan Oblak pada minit ke-57. Namun harapan mereka padam apabila Giuliano Simeone menanduk masuk gol keempat hanya dua minit kemudian. Alvarez kemudian menutup pesta jaringan pada minit ke-82 melalui sepakan penalti, melengkapkan aksi cemerlangnya dengan satu gol dan dua bantuan gol.“Saya bangga dengan gol ke-200 ini. Perjalanan sukar tetapi pasukan sentiasa bersama saya. Momentum ini penting untuk kami kekalkan,” ujar Griezmann.
Kemenangan besar ini bukan sahaja melonjak keyakinan Atletico dalam saingan Eropah, malah memberi amaran awal menjelang pertemuan getir menentang Arsenal tiga minggu lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami