SPORTS
UEFA umum perubahan drastik peraturan perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara

Jawatankuasa pertandingan kelab Liga Juara-Juara menolak cadangan pemansuhan masa tambahan. - Foto Stadium Astro
PERSATUAN Bola Sepak Eropah Bersatu telah mencadangkan pindaan terhadap format pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan Liga Europa bagi mengurangkan beban pemain pada separuh kedua musim bola sepak yang padat.
Ringkasan AI
- Persatuan Bola Sepak Eropah Bersatu mencadangkan pindaan terhadap format pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan Liga Europa untuk mengurangkan beban pemain.
- Jawatankuasa pertandingan kelab Liga Juara-Juara menolak cadangan pemansuhan masa tambahan, mengekalkan masa tambahan selama 30 minit sebagai penentu seri.
- UEFA bimbang pasukan yang lemah akan bermain secara bertahan dan berharap pada sepakan penalti, lebih baik mencapai keputusan dengan bermain masa tambahan.
Menurut laporan Martyn Ziegler dari The Times, jawatankuasa pertandingan kelab Liga Juara-Juara telah membincangkan cadangan tersebut namun akhirnya menolak satu bentuk penyelesaian yang berpotensi membawa perubahan baharu kepada format perlawanan kalah mati bola sepak dan berkemungkinan mempengaruhi badan pentadbiran bola sepak yang lain.
Jawatankuasa telah menetapkan untuk mengekalkan masa tambahan selama 30 minit sahaja sebagai penentu seri dalam perlawanan kalah mati, sekali gus menolak cadangan pemansuhannya dalam pertandingan kelab Liga Juara-Juara.
"Terdapat beberapa tekanan untuk membuang masa tambahan bagi mengurangkan beban pemain dalam perlawanan yang sudah padat.
"Terdapat juga hujahan bahawa ia memberi kelebihan tidak adil kepada pasukan yang bermain di tempat sendiri pada perlawanan kedua," lapor Ziegler.
UEFA mengambil langkah lebih adil untuk mengimbangi perlawanan timbal balik pada tahun 2021 yang lalu, apabila ia memansuhkan peraturan gol di tempat lawan.
Sejak itu, "37 perlawanan Liga Juara-Juara telah pergi ke masa tambahan, dengan 15 daripada itu telah selesai dengan penentuan sepakan penalti.
"Dalam Liga Europa dan Liga Persidangan cuma lebih separuh daripada perlawanan yang melepasi masa tambahan telah berakhir dengan penalti," katanya.
Menurut Ziegler, UEFA membuat keputusan itu kerana bimbang tentang pasukan yang lemah akan bermain secara bertahan dan cuma berharap pada sepakan penalti sahaja.
"Mereka berasakan 'lebih baik untuk cuba mencapai keputusan dengan bermain masa tambahan daripada terus ke loteri penalti'," tambahnya.
Kaedah masa tambahan sering dipersoalkan hasilnya sebagai penentu perlawanan, dan kini tidak diguna pakai lagi dalam perlawanan di peringkat bawahan. Pemilihan hanya menerusi sepakan penalti. -- Stadium Astro
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami