Israel Adesanya berjaya menyatukan takhta middleweight UFC untuk muncul sebagai juara baharu divisyen tersebut selepas menumpaskan Robert Whittaker di Melbourne, Australia sebentar tadi.

Acara UFC 243 yang berlangsung di Stadium Marvel pada Ahad itu menyaksikan Adesanya, selaku juara interim middleweight menewaskan penyandang gelaran itu menerusi ‘knock out’ pada minit 3:33 pusingan kedua.

Pusingan pertama dimulakan dengan aksi agresif dari Whittaker, meletakkan Adesanya pada kedudukan berjaga-jaga.

Namun, pada minit terakhir pusingan tersebut, Adesanya mengejutkan penonton apabila hampir menumbangkan lawannya menerusi tumbukan cedok dari tangan kirinya.

Bagaimanapun ia berjaya diselamatkan oleh bunyi buzzer penamat.

Pada pusingan kedua pula, Whittaker sekali lagi bertindak agresif dengan menerpa ke arah Adesanya dan melepaskan beberapa tumbukan padu ke arah pencabarnya itu.

Menggunakan kepintarannya di gelanggang, Adesanya jelas tidak terperangkap dengan asakan Whittaker, dan banyak melakukan pertahanan serta serangan balas.

Di minit ketiga pusingan, Whittaker sekali lagi melepaskan tumbukan kiri ke muka Adesanya tetapi Adesanya berjaya membuat tumbukan balas kiri dan kanan ke muka Whittaker, sekali gus merebahkan bekas juara itu ke lantai.

Dia kemudiannya melancarkan beberapa lagi tumbukan ke arah Whittaker sebelum pengadil mencelah untuk menghentikan perlawanan.

Pengadil kemudiannya mengisytiharkan ‘The Last Stylebender’ itu sebagai pemenang dan juara dunia baharu untuk divisyen middleweight UFC.

Kemenangan ini mengekalkan rekod tanpa kalah Adesanya, menjadikannya 18-0.

Sementara itu, ketika ditemubual selepas perlawanan, Adesanya sempat membuat cabaran ke atas Paulo Costa dari Brazil, yang ketika ini paling layak untuk menentangnya.

Adesanya, 30, dari Nigeria dan New Zealand meraih kejuaraan interim middleweight UFC pada April lalu selepas menewaskan Kelvin Gastelum dari Australia menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision).

Pertarungan penyatuan gelaran middleweight ini diadakan susulan Whittaker yang tidak dapat mempertahankan kejuaraanya dalam tempoh dua tahun sejak 2017 akibat kecederaan di perut.

Petarung dari Australia berusia 28 tahun itu dinobat sebagai juara middleweight selepas petarung Kanada, Georges St-Pierre melepaskan takhta tersebut pada Disember 2017.