Skuad Bawah 15 Tahun Malaysia akan menjadikan saingan bola sepak Piala Antarabangsa Frenz yang bermula esok sebagai medan bagi menguji kemampuan mereka sebelum menghadapi kelayakan Kejohanan Bawah 16 Tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Februari depan.

Tanpa meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan sulung Piala Antarabangsa Frenz itu kerana pemainnya dihimpun dalam masa yang singkat, jurulatih S. Balachandran berharap anak buahnya dapat mempamerkan prestasi terbaik pada kejohanan tersebut.

"Kita akan menjadikan kejohanan ini sebagai medan latihan menjelang kelayakan kejohanan itu nanti," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian kejohanan Piala Antarabangsa Frenz Khamis oleh Presiden Frenz United FC, Datuk Noor Ihsan A. Hamid.

Skuad bawah 15 Tahun Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Frenz United Malaysia, Pilihan Incheon dan Slavia Praha dari Republik Czech.

Selain itu, Kumpulan B terdiri daripada Frenz United Indonesia, Chonburi FC, Bawah 15 Tahun Slovakia dan Persepolis dari Iran.

Kejohanan Piala Antarabangsa Frenz itu akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Stadium Shah Alam dan Stadium Institut Penilaian Negara (Inspen) di Bangi dari 28 Dis hingga 6 Jan depan.

Pertandingan Bawah 15 Tahun itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$103,000 (RM320,000).

Pasukan bawah 15 tahun Malaysia akan bertemu Slavia Praha dalam aksi pembukaan di Stadium MPPJ pada pukul 5.30 petang esok.