SUKAN
Villa 10 pemain sekat Newcastle di Villa Park

Morgan Rogers beraksi bersama Anthony Elanga ketika perlawanan EPL antara Aston Villa dan Newcastle United di Villa Park, Birmingham, Britain, 16 Ogos 2025. REUTERS
ASTON Villa berjaya meraih satu mata berharga walaupun beraksi dengan 10 pemain apabila seri tanpa jaringan menentang Newcastle United dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Villa Park, pada Sabtu.
Pertahanan Villa, Ezri Konsa diarah keluar padang pada minit ke-66 selepas menjatuhkan Anthony Gordon yang hampir mencetuskan peluang keemasan buat pelawat, namun benteng The Villans kekal utuh sehingga wisel penamat.
Villa terhutang budi kepada penjaga gol baharu, Marco Bizot yang tampil mengagumkan pada debut Liga Perdana Inggeris menggantikan Emi Martinez yang digantung.
Penjaga gol berusia 34 tahun itu menafikan beberapa percubaan berbahaya, termasuk rembatan Anthony Elanga seawal minit ketiga, selain menutup ruang cubaan Gordon.Newcastle yang menguasai sebahagian besar babak pertama jelas merindui sentuhan klinikal penyerang utama mereka, Alexander Isak, yang diketepikan susulan isu perpindahan ke Liverpool.
Peluang demi peluang dicipta oleh Elanga dan Gordon, namun penyudah tumpul terus menghantui pasukan bimbingan Eddie Howe.
Villa hampir menghukum pelawat apabila hantaran silang John McGinn disambut Boubacar Kamara, tetapi tandukan pemain tengah itu tepat ke arah Nick Pope. Peluang terbaik lain hadir menerusi Ollie Watkins, namun percubaannya juga lemah.
Selepas Konsa dilayangkan kad merah, Villa dipaksa bertahan habis-habisan. Howe cuba menukar rentak dengan memasukkan penyerang William Osula pada minit ke-90, tetapi masa tidak cukup untuk mencari gol kemenangan dan perlawanan kekal 0-0.
Howe mengakui kecewa kerana gagal membawa pulang tiga mata walaupun mendominasi babak pertama.
“Kami bermula dengan sangat baik, menguasai rentak dan mencipta peluang. Tetapi kami hilang sedikit intensiti selepas rehat. Sepatutnya kami menang,” katanya.
Sementara itu, pengendali Villa, Unai Emery berpendapat keputusan seri wajar diterima memandangkan mereka beraksi kurang seorang pemain.
“Dengan situasi bermain 10 orang lebih setengah jam, kami harus terima keputusan ini. Tetapi Villa tidak boleh biasakan diri kehilangan dua mata di laman sendiri,” tegasnya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami