SUKAN
West Ham ikat Everton, Nuno mulakan tugas dengan seri

Keputusan ini menyaksikan West Ham kekal di tangga kedua tercorot dengan empat mata, manakala Everton melonjak ke kedudukan kesembilan. - Gambar Reuters
JARROD Bowen muncul wira West Ham apabila jaringannya memastikan keputusan seri 1-1 menentang Everton dalam aksi sulung The Hammers di bawah kendalian pengurus baharu, Nuno Espirito Santo.
Everton bermula garang di Goodison Park apabila Michael Keane menanduk masuk hantaran silang James Garner pada awal permainan.
Pasukan tuan rumah jelas menguasai separuh masa pertama dengan Kiernan Dewsbury-Hall dan Jack Grealish paling menonjol, malah Dewsbury-Hall berpeluang menambah jaringan, tetapi tandukannya tersasar di sebelah gawang.
West Ham yang menamatkan empat kekalahan dalam lima perlawanan awal musim ini, pada mulanya masih kelihatan goyah di bahagian serangan.Namun, beberapa individu tampil menyerlah, khususnya Crysencio Summerville dan pertahanan kiri El Hadji Malick Diouf di bahagian sayap kiri.
Larian pantas Summerville sering menggegar benteng Everton, manakala Diouf menyusahkan Jake O’Brien sebelum hantarannya disempurnakan Bowen pada minit ke-65 untuk gol penyamaan.
Jaringan itu mengubah rentak permainan dengan West Ham mula lebih berani menyerang, memaksa Everton bertahan sehingga wisel penamat.
Walaupun gagal mencari gol kemenangan, skuad bimbingan Nuno boleh menarik nafas lega selepas mengutip mata pertama dalam Liga Perdana sejak hujung Ogos.
Keputusan ini menyaksikan West Ham kekal di tangga kedua tercorot dengan empat mata, manakala Everton melonjak ke kedudukan kesembilan berkongsi lapan mata bersama empat pasukan lain Chelsea, Brighton & Hove Albion, Fulham dan Leeds United.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami