Pemain profesional negara, Zulfadli Zulkifli berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat membantunya berhubung hukuman penggantungan 20 tahun daripada terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan badminton selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.

Pada Selasa lepas, selain mengenakan hukuman penggantungan itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) turut mengenakan denda AS$25,000 (RM98,358) terhadap Zulfadli.

Pemain berusia 25 tahun itu menyifatkan dirinya sebagai mangsa penindasan badan induk badminton dunia itu apabila menjatuhi hukuman terhadap beliau tanpa bukti kukuh dan hanya berdasarkan aplikasi Whatsapp yang tidak merangkumi keseluruhan perbualan serta disalah tafsir daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris.

"Saya hanya tahu satu kerja sahaja, bermain badminton. Kini saya tidak boleh membuat apa-apa kerja berkaitan badminton. Hukuman ini menghalang saya daripada meneruskan kehidupan saya.

"Hukuman ini lebih berat daripada hukuman penjara kerana di penjara saya dapat makan dan tempat berlindung sedangkan di luar saya tidak tahu bagaimana saya hendak hidup.

"Keputusan ini lebih perit daripada hukuman gantung kerana ini fitnah terhadap saya. Saya dan keluarga mungkin terpaksa hidup dalam keadan malu walaupun tidak bersalah. Biarpun saya ingin merayu, saya diberitahu perlu membayar denda hampir RM100,000 terlebih dahulu. Saya tidak mampu untuk bayar.

"Saya harap semua pihak akan percaya bahawa saya mangsa dan bukan pesalah. Saya mohon pihak BAM dan KBS untuk menolong saya merayu dan melindungi saya daripada penindasan BWF," katanya pada satu sidang media khas di sini pada Jumaat.

Tiada bukti kukuh

Zulfadli turut mendakwa hukuman dijatuhkan itu berdasarkan kepada mesej diambil daripada aplikasi Whatsapp tanpa sebarang bukti kukuh lain, termasuk perlawanan khusus yang menunjukkan dirinya terlibat dengan kesalahan mengatur perlawanan.

Katanya, pada tahun lepas, BWF menghantar surat kepada BAM untuk memaklumkan dirinya akan ditemu ramah oleh badan induk badminton dunia itu tetapi pada hakikatnya ia adalah proses soal siasat.

Beliau berkata oleh kerana tidak begitu fasih berbahasa Inggeris dan mengemukakan permohonan kepada BWF supaya bapanya, Zulkiffli Sidek dibenarkan masuk sebagai pentafsir, namun permintaannya ditolak tetapi pada masa sama diberikan seorang jurubahasa bagi membantunya sepanjang proses itu.

"Saya disoal siasat Paul Scotney, seorang bekas inspektor polis dari Scotland Yard, namun saya tidak begitu memahami loghat yang digunakannya dan ada ketikanya dia (Scotney) menyatakan bahawa ada soalan tidak perlu ditafsir dalam Bahasa Melayu.

"Semasa sesi itu juga, telefon bimbit saya diambil secara paksa dan mereka kemudiannya menggunakan sejenis mesin untuk mengeluarkan semua Whatsapp saya yang ditulis pada 2013, sebelum membuat pertuduhan lanjut setelah membaca serba sedikit mesej di dalamnya dan ia tidak dibacakan secara penuh membuatkan saya tidak tahu dalam konteks apa perkataan tersebut digunakan.

"Salah satu contoh, ialah semasa Grand Prix (GP) Terbuka Belanda 2013, Tan Chun Seang melawat sebuah kasino di sana dan kami berbincang mengenai pengalamannya menerusi Whatsapp, perkataan 'bet' dan 'jackpot' telah digunakan dalam perbualan itu. Pihak pendakwaan hanya menggunakan dua perkataan tersebut sahaja untuk mengaitkan kami dan menuduh kami terlibat dengan kesalahan mengatur perlawanan.

"Tidak lama kemudian saya dituduh dengan tujuh pertuduhan utama iaitu mengatur perlawanan dan secara ringkasnya saya dituduh mengatur perlawanan dalam beberapa kejohanan tetapi tidak tahu melibatkan perlawanan yang mana satu," katanya.

Isu pengadil

Zulfadli berkata pertuduhan pertama melibatkan GP Korea ketika melawan Han Ki Hoon, beliau didakwa terlibat dengan kesalahan mengatur perlawanan selepas menarik diri daripada perlawanan itu sedangkan tindakan menarik diri dilakukan selepas mendapati kesemua pengadil dari Korea Selatan selain terdapat beberapa keputusan berat sebelah dan perkara itu diakui BAM dalam satu kenyataan dikeluarkan dalam akhbar.

"Dalam kejohanan ini terdapat berpuluh-puluh perlawanan tetapi tidak dinyatakan secara jelas saya terlibat dengan kesalahan dalam mengatur perlawanan bagi sesuatu perlawanan khusus atau mereka menyatakan saya terlibat mengatur perlawanan dalam semua GP tersebut? Saya perlu tahu secara terperinci supaya dapat membela diri dengan sewajarnya," katanya.

Wang tajaan

Untuk pertuduhan melibatkan GP Brazil 2016, Zulfadli berkata pihak Scotland Yard sudah mengambil segala penyata bank dan mereka menjadikan urusan keluar masuk wang berjumlah RM5,000 sebagai bukti beliau terlibat dalam mengatur perlawanan namun sebenarnya ia wang diberikan pihak penaja.

Dalam pada itu, Zulfadli turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana keputusan BWF itu mengecewakan seluruh rakyat Malaysia di samping mencemar nama baik negara di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata permohonan maaf secara ikhlas itu bukan bermakna beliau mengakui kesalahan mengatur perlawanan seperti dikenakan BWF ke atas dirinya tetapi impak keputusan itu terhadap beliau dan negara.

"Tidak sangka dalam usia semuda ini saya akan memalukan rakyat dan negara sedangkan tugas saya sebagai rakyat Malaysia adalah untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia.

"Saya minta maaf bukan kerana saya mengaku terlibat dalam mengatur perlawanan ataupun rasuah sukan. Saya meminta maaf kerana impak keputusan BWF terhadap saya. Saya tegas menyatakan tuduhan terhadap saya tidak wajar dan keputusan yang mendapati saya bersalah juga tidak wajar," katanya.

-- BERNAMA