KUALA LUMPUR: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Batu Pahat memperkukuh kemahiran digital warga kerjanya menerusi kursus yang memberi tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi proses kerja dan analitik data.
Pengarah KPTM Batu Pahat, Md Hanafizah Ya’acob berkata, perkembangan teknologi menuntut institusi pendidikan memastikan warga kerja bukan sahaja mengenali teknologi baharu, malah mampu menggunakannya secara praktikal dan bertanggungjawab.
“Kursus ini merupakan langkah proaktif KPTM Batu Pahat bagi membentuk warga kerja yang lebih cekap, tangkas dan bersedia menghadapi perubahan dalam landskap pendidikan serta dunia pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan kepada Astro AWANI hari ini.
Menurut Md Hanafizah, KPTM Batu Pahat turut berhasrat memperluaskan latihan itu kepada tenaga akademik bagi membantu pensyarah menghasilkan bahan pengajaran lebih kreatif dan mengurus tugasan akademik dengan lebih sistematik.
Kursus Digital Transformation: Workplace Productivity & Process Digitalization pada 21 dan 22 Ogos itu dikendalikan Penna Writes Academy PLT, penyedia latihan berdaftar di bawah HRD Corp.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada beberapa platform AI dan produktiviti digital termasuk ChatGPT, Microsoft Copilot, Gemini AI dan Canva.
Penggunaan teknologi itu antara lain melibatkan penyediaan e-mel, surat rasmi, minit mesyuarat, kertas kerja serta bahan komunikasi organisasi.
Pada masa sama, peserta diberi pendedahan mengenai aspek keselamatan dan etika penggunaan AI termasuk perlindungan data, pengelasan maklumat dan risiko perkongsian maklumat sensitif.
Semakan manusia turut ditekankan sebelum sebarang kandungan yang dihasilkan menggunakan AI digunakan bagi tujuan rasmi.
Dalam latihan berorientasikan amali itu, peserta turut membangunkan Prompt Library mengikut skop tugas masing-masing dan Pelan Digital SOP Jabatan bagi mengenal pasti proses kerja yang boleh dipermudah atau didigitalkan.
Peserta turut mempelajari pengurusan data menggunakan Google Workspace dan Google Sheets sebelum membangunkan papan pemuka interaktif menerusi Looker Studio bagi membantu pemantauan dan analisis data.
Kursus yang menggunakan pendekatan 70 peratus latihan amali dan 30 peratus kerangka strategik itu melibatkan 12 aktiviti praktikal sepanjang dua hari.