ISLAMABAD: Angka korban akibat banjir kilat dan gelongsoran lumpur yang membawa kemusnahan besar bulan lepas di sempadan Nepal-China meningkat kepada 1,442 orang selepas pasukan penyelamat menemukan 14 lagi mayat di Nepal pada Selasa.
Seramai 5,698 orang masih hilang.
Anadolu Ajansi melaporkan Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal memaklumkan sebanyak 1,399 mayat ditemukan di kawasan terjejas banjir, manakala 5,179 orang masih belum dijumpai.
Menurut pihak berkuasa itu, seramai 13,742 orang diselamatkan, manakala 21,022 anggota keselamatan dikerahkan untuk operasi mencari, menyelamat dan bantuan.
Antara mereka yang hilang di Nepal ialah 587 pelancong asing. Pihak berkuasa memaklumkan jumlah individu yang hilang masih tertakluk kepada pengesahan dan mungkin termasuk mayat yang belum dikenal pasti serta mereka yang telah diselamatkan.
Di pihak China, angka korban kekal 43 orang, dengan 519 orang masih hilang termasuk 261 warga asing di Tibet, yang dinamakan Beijing sebagai wilayah autonomi Xizang.
Bencana itu berlaku pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung, Nepal retak pada ketinggian 5,200 meter (17,060 kaki).
Retakan itu mencetuskan runtuhan ais dan batu yang bertukar menjadi aliran puing berskala besar sebelum melanda lembah di sepanjang sempadan.
Banjir dan gelongsoran lumpur memusnahkan daerah Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Kavre di Nepal serta Lembah Kathmandu.
Bencana itu turut menimbus lintasan sempadan Gyirong di Xizang.
-- BERNAMA-ANADOLU