PELAKON Irfan Zaini tidak menyangka dirinya menitiskan air mata ketika pertama kali menonton filem TERBANG yang mengangkat perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh.
Malah, momen menerima pujian daripada Karamjit selepas tayangan membuatkan pengalaman tersebut semakin bermakna.
“Jujur cakap, saya tak sangka. Pada awalnya saya fikir, takkan saya nak menangis tengok diri sendiri? Seriuslah filem ‘racing’ boleh menangis? Tapi saya menangis juga.
“Saya terharu apabila dia (Karamjit) datang peluk saya. Dia cakap dia sangat teruja,” katanya ketika ditemui pada malam gala TERBANG di TGV KLCC, malam tadi.
Berkongsi lebih lanjut, Irfan berkata, Karamjit sendiri juga merupakan antara individu yang mencadangkan namanya untuk membawakan watak yang diinspirasikan daripada legenda tersebut.
“Karamjit yang cadangkan nama saya. Astro Shaw pun cadangkan saya, kemudian barulah pengarah kenal saya. Sebelum ini pengarah tak kenal saya dan belum tengok Blood Brothers ketika itu.
“Karamjit cakap, ‘Saya rasa awaklah yang paling sesuai untuk merealisasikan filem ini sebagai diri saya.’
“Ketika itu, saya rasa dah macam menang Oscar. Bila saya dengar sendiri daripada Karamjit, saya rasa, ‘Okay, Alhamdulillah, sudah menjadi’,” ujarnya.
Bagaimanapun, Irfan mengakui sebelum terbabit dalam TERBANG, dia sendiri tidak begitu mengenali Karamjit dan berasa malu selepas mengetahui pencapaian besar figura berkenaan dalam mengharumkan nama Malaysia.
“Saya jujur dengan semua orang, pada mulanya saya pun tak kenal Karamjit. Saya kenal dia sebagai pemandu aksi lagak ngeri. Tapi apabila saya dapat tahu mengenai dirinya, saya rasa sangat malu.
“Sebagai rakyat Malaysia, apabila saya tak kenal dia dan tak tahu pencapaiannya, saya malu sangat. Saya fikir filem ini akan membuka mata ramai orang terutama generasi Z yang mungkin belum mengenalinya,” jelasnya.
Tambah Irfan, masyarakat tidak seharusnya hanya mengagumi kejayaan figura luar negara sedangkan Malaysia sendiri mempunyai wira yang mampu menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Sebab kita asyik sokong negara lain, sedangkan kita ada wira sendiri yang boleh dijadikan contoh oleh adik-adik, anak-anak dan cucu-cucu kita.
“Karamjit tidak pernah mengharapkan populariti. Sampai hari ini pun ada orang yang tak kenal dia. Maknanya, populariti bukan sesuatu yang dia cari atau kejar,” katanya.
Malah, sikap Karamjit itu turut menjadi motivasi buat Irfan untuk terus memberikan yang terbaik dalam kerjaya tanpa terlalu mengejar populariti.
“Tak kisah kita popular atau tidak, watak kita ‘meletup’ atau tidak, kita buat yang terbaik. Insya-Allah, Allah akan beri,” ujarnya.
TERBANG arahan Chiu Keng Guan mengangkat kisah inspirasi perjalanan pasukan rali Malaysia yang diketuai Karamjit dalam membuktikan kemampuan anak tempatan di pentas dunia.
Filem yang turut dibintangi Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Diana Danielle, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Ruminah Sidek, Luqman Hafidz dan Qasrina Karim itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 17 September ini termasuk dalam format 4DX. -- Gempak