Skip to main content

Teknologi

Anthropic perkenal Claude Opus 4.7, tingkat keupayaan kod dan ciri keselamatan AI

Anthropic melancarkan Claude Opus 4.7 dengan keupayaan menghasilkan kod dan mengesan kerentanan siber yang dipertingkatkan berbanding Claude Opus 4.6 tetapi masih tidak setanding dengan Mythos yang tidak boleh diakses secara terbuka.
Claude Opus 4.7 menunjukkan prestasi lebih baik berbanding versi terdahulu, Claude Opus 4.6, terutama dalam melaksanakan tugasan kejuruteraan perisian yang kompleks serta proses berbilang langkah secara konsisten. -Foto Amanz

SAN FRANCISCO: Anthropic melancarkan model kecerdasan buatan (AI) terbaharunya, Claude Opus 4.7, yang menawarkan peningkatan ketara dalam keupayaan penjanaan kod serta ciri keselamatan berkaitan ancaman siber.

Menurut Anthropic, Claude Opus 4.7 menunjukkan prestasi lebih baik berbanding versi terdahulu, Claude Opus 4.6, terutama dalam melaksanakan tugasan kejuruteraan perisian yang kompleks serta proses berbilang langkah secara konsisten, lapor Amanz.

Advertisement

Dalam beberapa ujian penanda aras industri, termasuk SWE‑bench Pro, model berkenaan mencatatkan keputusan lebih tinggi berbanding model pesaing seperti GPT‑5.4 dan Gemini 3.1 Pro, khususnya bagi tugasan berkaitan pengekodan autonomi.

Claude Opus 4.7 turut diperkenalkan dengan perlindungan keselamatan baharu yang direka untuk mengesan dan menyekat permintaan berisiko tinggi, termasuk percubaan eksploitasi siber.

Anthropic berkata, dapatan penggunaan dunia sebenar daripada Opus 4.7 akan digunakan bagi menilai dan menambah baik rangka kerja perlindungan keselamatan, sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang ke arah pembangunan model AI yang lebih berkeupayaan dalam persekitaran terkawal.

Selain peningkatan dalam pengekodan, Claude Opus 4.7 juga mempunyai keupayaan visual yang lebih baik, termasuk menjana reka bentuk antara muka pengguna (UI) dan aset visual berkualiti tinggi untuk kegunaan profesional.

Bagaimanapun, Anthropic menegaskan bahawa Claude Opus 4.7 masih kurang berkeupayaan berbanding model dalaman syarikat itu yang lebih maju, dikenali sebagai Claude Mythos Preview, yang ketika ini hanya digunakan secara terhad bagi tujuan keselamatan.

Anthropic ialah syarikat penyelidikan dan pembangunan AI yang berpangkalan di Amerika Syarikat, dengan tumpuan kepada pembinaan model AI yang selamat, telus dan boleh dipercayai.

Must Watch Video