Skip to main content

Teknologi

Apple bakal selesaikan isu 'Liquid Glass' menerusi macOS 27

81709194927_TBapplejpg.jpg
Meskipun rekaan “Liquid Glass” dilaporkan menerima maklum balas positif daripada pengguna iPhone dan iPad, elemen berkenaan didapati kurang praktikal serta menimbulkan isu kebolehlihatan pada paparan komputer macOS. -Gambar fail

APPLE dilapor bakal menyelesaikan isu rekaan antara muka “Liquid Glass” menerusi pengenalan sistem operasi macOS 27 yang kini berada dalam fasa pembangunan.

Langkah itu diambil bagi menangani aduan pengguna komputer Mac berhubung elemen lutsinar dan kesan bayang-bayang yang dilihat kurang jelas sehingga menjejaskan pengalaman penggunaan peranti berkenaan, lapor Amanz.

Penganalisis teknologi Bloomberg, Mark Gurman, melaporkan agenda utama kemas kini itu adalah untuk menambah baik kualiti visual antara muka berkenaan, yang sebelum ini diperkenalkan secara seragam merentas peranti Apple menerusi siri sistem operasi 26 tahun lalu.

Meskipun rekaan “Liquid Glass” dilaporkan menerima maklum balas positif daripada pengguna iPhone dan iPad, elemen berkenaan didapati kurang praktikal serta menimbulkan isu kebolehlihatan pada paparan komputer macOS.

Selain penambahbaikan antara muka, pelayar web Safari juga dijangka dikemas kini dengan ciri “Organise Tab” yang berupaya mengumpulkan tab secara automatik menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Ciri baharu itu turut dijangka diperkenalkan serentak menerusi sistem operasi iOS 27 dan iPadOS 27.

Kesemua pembaharuan bagi sistem operasi siri 27 itu dijangka diperlihatkan secara rasmi pada Persidangan Pembangun Sedunia (WWDC) 2026 yang dijadualkan bermula pada 8 Jun depan.

Must Watch Video