Skip to main content

Teknologi

Apple naikkan harga produk di Malaysia susulan kos memori meningkat

71714195291_TBApple.jpg
Kenaikan itu melibatkan beberapa kategori utama termasuk komputer Mac, tablet iPad serta peranti rumah pintar seperti HomePod dan Apple TV. -Gambar fail/Apple
Advertisement

APPLE menaikkan harga jualan bagi pelbagai produk di Malaysia berkuat kuasa hari ini susulan lonjakan kos cip memori dan storan global, lapor Amanz.

Kenaikan itu melibatkan beberapa kategori utama termasuk komputer Mac, tablet iPad serta peranti rumah pintar seperti HomePod dan Apple TV.

Langkah berkenaan menyusul selepas Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook memberi bayangan awal bahawa pelarasan harga tidak dapat dielakkan berikutan tekanan kos komponen.

Beliau berkata syarikat telah berusaha menyerap kenaikan kos tersebut sebelum ini, namun keadaan semasa menjadikannya tidak lagi mampan.

“Kami cuba melindungi pelanggan daripada kenaikan ini, tetapi situasi telah menjadi tidak mampan,” katanya dalam temu bual media antarabangsa.

Menurut Apple, peningkatan mendadak permintaan terhadap cip memori dan storan akibat pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) telah menyebabkan bekalan menjadi terhad, sekali gus memacu kenaikan harga komponen.

Dalam kemas kini harga di Malaysia, model MacBook Neo — komputer riba mampu milik Apple — kini bermula pada RM2,999 berbanding RM2,499 sebelum ini, manakala MacBook Air turut melonjak kepada RM5,499 bagi varian 13 inci.

Bagi rangkaian iPad, harga asas iPad meningkat kepada RM2,049, manakala iPad Pro 11 inci kini bermula pada RM5,499.

Peranti lain seperti HomePod dan Apple TV turut mengalami kenaikan harga sederhana.

Apple bagaimanapun tidak menaikkan harga iPhone, Apple Watch dan AirPods setakat ini. 

 

Must Watch Video

Advertisement