TAIPEI: Asus memperkenalkan Oxiis E250G1 Intelligent Bike Booster, sebuah peranti yang direka untuk menukar basikal konvensional kepada basikal elektrik, lapor Amanz.
Peranti itu hadir dengan reka bentuk universal yang membolehkannya dipasang pada kebanyakan jenis basikal, sekali gus membolehkan pengguna menikmati fungsi bantuan kayuhan elektrik tanpa perlu membeli basikal elektrik baharu.
Oxiis E250G1 menampilkan reka bentuk yang mudah dipasang serta dilengkapi bateri modular yang boleh ditanggalkan untuk tujuan pengecasan.
Asus turut menyediakan aplikasi khas yang membolehkan pengguna memantau kapasiti bateri, menyemak tempoh penggunaan serta mengubah tetapan mod tunggangan mengikut keperluan.
Produk itu dikuasakan motor 250 watt dan mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 50 kilometer dalam mod Eco.
Selain mempunyai ciri kalis air, peranti berkenaan juga mampu melaras tahap bantuan kayuhan secara automatik berdasarkan keadaan permukaan jalan.
Melalui sistem motor yang dipasang pada bahagian belakang, Oxiis E250G1 menyalurkan kuasa tambahan kepada tayar belakang bagi membantu mengurangkan tenaga yang diperlukan semasa berkayuh.
Setakat ini, Asus belum mengumumkan sama ada produk tersebut akan dipasarkan di Malaysia.