CEO Phison, Pua Khein‑Seng, memberi amaran bahawa krisis kekurangan memori global dijangka menyebabkan banyak syarikat elektronik bankrap atau keluar daripada pasaran menjelang penghujung tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap cip DRAM dan NAND untuk pusat data kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata harga memori meningkat mendadak sehingga menjejaskan pengeluaran pelbagai peranti, termasuk telefon pintar, PC dan televisyen.
Advertisement
Kekurangan bekalan menyebabkan pengeluaran telefon pintar dijangka berkurangan antara 200 hingga 250 juta unit, manakala pengeluaran PC dan TV turut menunjukkan penurunan ketara.
Menurut Khein‑Seng, pasaran kini dikuasai sepenuhnya oleh pembekal memori, dengan beberapa kilang pengeluar meminta prabayaran kontrak sehingga tiga tahun, sesuatu yang disifatkan belum pernah berlaku dalam industri.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun harga cip memori seperti 8GB eMMC meningkat daripada AS$1.50 kepada AS$20, bekalan masih gagal memenuhi permintaan.
Krisis bekalan ini dijangka berlarutan sehingga 2030, berdasarkan unjuran pengeluar memori utama.
Khein‑Seng menambah bahawa banyak syarikat elektronik berskala kecil hingga sederhana mungkin tidak mampu menanggung kos dan kekangan bekalan, sekali gus memaksa mereka menutup operasi atau menghentikan pengeluaran produk tertentu.