Skip to main content

Malaysia

Noor Ruwena dilantik ketuai Mahkamah Rasuah baharu

Sumber: OFFICE OF THE CHIEF REGISTRAR
Noor Ruwena Md Nurdin dilantik mengetuai Mahkamah Tinggi Rasuah Khas Kuala Lumpur yang baharu.

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Noor Ruwena Md Nurdin dilantik mengetuai Mahkamah Tinggi Rasuah Khas Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa 1 April depan.

Arahan Pertukaran Hakim Mahkamah Tinggi Malaya itu dinyatakan dalam Pekeliling Bilangan 3/2026 yang ditandatangani Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah, dan disiarkan di laman sesawang Badan Peguam Malaysia.

Advertisement

Dalam arahan pertukaran itu, turut dimaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Aslam Zainuddin akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, manakala Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Noor Hisham Ismail akan menggantikan beliau di Shah Alam.

"Semua hakim perlu menyelesaikan semua kes yang sedang didengar sebelum Perintah Pertukaran ini berkuat kuasa.

"Sekiranya tidak dapat diselesaikan, senarai kes sambung bicara itu perlu dikemukakan kepada saya untuk arahan dengan menyatakan peringkat perbicaraan kes-kes itu.

"Pegawai Pengurus Pusat Tanggungjawab yang terbabit hendaklah mengemukakan Penyata Perubahan (Kew 8) berkaitan dengan Arahan Penempatan ini kepada pihak yang berkenaan," katanya dalam pekeliling itu.

Hashim berkata, perintah pertukaran berkenaan sudah mendapat kelulusan Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Pada 20 Januari lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia mengumumkan penubuhan Mahkamah Tinggi Rasuah Khas bagi mendengar kes rasuah serta rayuan daripada Mahkamah Sesyen Rasuah Khas.

Langkah itu mendapat kelulusan Ketua Hakim Malaya dan Ketua Hakim Negara.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada 19 Januari lalu, bertitah mengenai keperluan melantik hakim berpengalaman serta mewujudkan laluan khusus bagi memastikan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, inisiatif itu mencerminkan komitmen badan kehakiman terhadap integriti serta pengendalian kes rasuah secara cekap, telus dan berkesan.

Ketika ini, sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah beroperasi di seluruh negara dengan sasaran menyelesaikan setiap kes dalam tempoh setahun dari tarikh pendaftaran.

Must Watch Video