META dilapor menghidupkan semula pembangunan jam tangan pintar berkod nama Malibu 2, dengan peranti berkenaan dijangka dilancarkan tahun ini selepas projek asal dihentikan sekitar 2022.
Laporan oleh The Information, yang turut dipetik Reuters, menyatakan jam tangan pintar itu akan hadir dengan ciri penjejak kesihatan serta pembantu maya Meta AI terbina dalam.
Advertisement
Projek Malibu 2 menandakan kemunculan semula Meta dalam pasaran boleh pakai, yang kini masih didominasi Apple Watch dan dipenuhi pelbagai model daripada pengeluar lain.
Meta sebelum ini memberi tumpuan kepada cermin mata pintar, tetapi permintaan kukuh untuk produk Ray‑Ban Meta dan Oakley telah mengukuhkan semula strategi peranti boleh pakai syarikat itu.
Meta dilaporkan berjaya menjual lebih 7 juta cermin mata pintar tahun lalu.
Apabila dilancarkan kelak, Malibu 2 dijangka menawarkan fungsi kecergasan yang lebih meluas dan integrasi rapat dengan ekosistem Meta AI.
Beberapa laporan turut menyebut potensi penggunaan teknologi sensor isyarat otot seakan Meta Neural Band, namun ciri ini masih dalam kategori spekulasi industri.
Kemasukan semula Meta ke dalam segmen jam tangan pintar dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh rangkaian peranti AI syarikat itu, melengkapkan strategi jangka panjang yang merangkumi cermin mata pintar, teknologi realiti campuran dan peranti kecerdasan buatan generasi baharu.