BYTEDANCE, syarikat induk di sebalik TikTok, CapCut dan Moonton, kini dinilai sekitar AS$550 bilion berikutan langkah firma pelaburan General Atlantic yang sedang menjual sebahagian pegangan ekuiti mereka dalam syarikat berkenaan.
Penilaian baharu itu menandakan peningkatan ketara berbanding nilai lebih AS$330 bilion dalam pembelian balik saham tahun lalu.
Advertisement
General Atlantic yang mula melabur dalam ByteDance pada 2017 ketika syarikat itu bernilai sekitar AS$20 bilion kini mencari pembeli baharu bagi pegangan berkenaan.
Bagaimanapun, jumlah pegangan yang ingin dijual tidak didedahkan, dan transaksi dijangka dimuktamadkan sekitar Mac depan.
Di peringkat global, ByteDance terus mengukuhkan kedudukannya sebagai gergasi media sosial dan e-dagang menerusi TikTok, selain pelaburan besar dalam pembangunan aplikasi berasaskan AI.
Di China, mereka menawarkan platform chatbot Doubao, di samping terus memperluas keupayaan AI termasuk penjana video seperti SeedDance.
ByteDance turut mencatat prestasi kukuh dalam sektor pengiklanan, dengan pendapatan suku tahunan tahun lalu dilaporkan melebihi Meta.
Perkembangan ini meningkatkan lagi keyakinan pelabur terhadap potensi pertumbuhan syarikat tersebut menjelang kemungkinan penyenaraian awam pada masa hadapan.