Skip to main content

Teknologi

ChatGPT, Claude, Grok alami gangguan serentak di seluruh dunia

51591156140_ArtificialIntellige.jpg
Gangguan itu menjejaskan puluhan ribu pengguna di seluruh dunia apabila mereka tidak menerima respons bagi pertanyaan, penjanaan kandungan dan tugas pengekodan yang dijalankan menerusi platform terbabit. -Gambar hiasan
Advertisement

SAN FRANCISCO: Beberapa platform kecerdasan buatan (AI) utama dunia termasuk ChatGPT, Claude dan Grok dilaporkan mengalami gangguan perkhidmatan serentak pada Khamis, menyebabkan sebahagian pengguna gagal mengakses perkhidmatan berkenaan.

Gangguan itu menjejaskan puluhan ribu pengguna di seluruh dunia apabila mereka tidak menerima respons bagi pertanyaan, penjanaan kandungan dan tugas pengekodan yang dijalankan menerusi platform terbabit.

Laman pemantauan Downdetector merekodkan lonjakan aduan membabitkan kegagalan fungsi tetingkap sembang, masalah log masuk serta ralat memuat naik fail pada beberapa perkhidmatan AI berkenaan.

OpenAI menerusi halaman status rasminya mengesahkan berlaku peningkatan kadar ralat pada ChatGPT dan Codex, yang dikaitkan dengan ralat penghalaan (routing error).

Dalam perkembangan sama, Anthropic memaklumkan beberapa model Claude mengalami peningkatan kadar ralat sebelum perkhidmatan dipulihkan, manakala xAI turut mengesahkan gangguan operasi pada Grok.

Beberapa laporan industri mengaitkan kejadian itu dengan masalah pada infrastruktur awan Microsoft Azure di wilayah East US.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi bahawa gangguan berkenaan merupakan punca tunggal yang menyebabkan ketiga-tiga platform terjejas secara serentak.

Sebahagian besar perkhidmatan yang terjejas dilaporkan kembali pulih dalam tempoh beberapa jam selepas langkah mitigasi dan pembetulan teknikal dilaksanakan oleh syarikat masing-masing.

Must Watch Video

Advertisement