SAN FRANCISCO: Laman ikonik era Web 2.0, Digg, dilancarkan semula sebagai agregator berita yang memfokuskan kepada kecerdasan buatan (AI) selepas melalui tempoh penggantungan operasi komuniti selama beberapa bulan, lapor Amanz.
Pengasas bersama Digg, Kevin Rose, mengumumkan pelancaran semula itu menerusi platform di.gg, yang kini berfungsi sebagai hab pengumpulan maklumat pantas berkaitan perkembangan industri AI.
Langkah tersebut diambil selepas fasa beta terbuka yang diperkenalkan pada Januari lalu terpaksa dihentikan pada Mac berikutan masalah serangan bot serta akaun palsu yang menjejaskan sistem undian berasaskan komuniti.
Antara muka baharu Digg kini menampilkan senarai berita AI terhangat dengan mengambil kira populariti topik di platform media sosial seperti X, selain beberapa sumber teknologi utama.
Selain agregasi berita, laman itu turut memperkenalkan carta 1,000 individu dan syarikat paling berpengaruh dalam industri AI, lengkap dengan graf populariti masa nyata.
Walaupun fokus awal tertumpu kepada topik AI, Rose berkata lebih banyak kategori kandungan akan diperkenalkan secara berperingkat pada masa hadapan.
Reka bentuk baharu Digg turut menampilkan elemen nostalgia awal 2010-an, dipercayai sebagai usaha menarik kembali pengguna lama yang sebelum ini berhijrah ke platform lain seperti Reddit.