Skip to main content

Teknologi

Dreame tutup Project Starry Sky, tinggalkan industri EV

https://amanz.my/2026578574
Keputusan itu menyaksikan penutupan operasi divisyen automotif syarikat yang dikenali sebagai Project Starry Sky, sekali gus menamatkan pembangunan model Nebula NEXT 01 JET Edition yang diperkenalkan kepada umum pada April lalu. -Foto Amanz
Advertisement

SAN FRANCISCO: Dreame Technology dilapor menamatkan keseluruhan projek pembangunan kenderaan elektrik (EV) serta menarik diri daripada industri automotif selepas hanya kira-kira setahun menceburi sektor berkenaan, lapor Amanz.

Keputusan itu menyaksikan penutupan operasi divisyen automotif syarikat yang dikenali sebagai Project Starry Sky, sekali gus menamatkan pembangunan model Nebula NEXT 01 JET Edition yang diperkenalkan kepada umum pada April lalu.

Model hiper EV tersebut sebelum ini mencuri perhatian apabila Dreame mendakwa ia mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam hanya 0.9 saat menerusi penggunaan dua pendorong roket bahan api pepejal yang dipasang pada bahagian belakang kenderaan.

Bagaimanapun, beberapa laporan kemudian mempersoalkan kebolehlaksanaan dakwaan itu serta tahap pembangunan sebenar projek berkenaan.

Menurut laporan media automotif China, operasi automotif Dreame yang pernah menggaji hampir 1,000 pekerja kini dikurangkan kepada hanya beberapa puluh kakitangan yang ditugaskan mengurus penutupan operasi, urusan perundangan dan penyelesaian kewangan berkaitan projek tersebut.

Beberapa bekas kakitangan turut mendakwa projek berkenaan lebih tertumpu kepada pemasaran dan usaha mendapatkan pembiayaan berbanding pembangunan automotif sebenar, namun dakwaan tersebut tidak disahkan secara bebas.

Susulan penamatan projek itu, Dreame berkata teknologi, hasil penyelidikan dan sumber yang dibangunkan akan disepadukan ke dalam perniagaan teras syarikat mengikut keperluan. Fokus syarikat kini kembali kepada produk rumah pintar, robot vakum, robot pemotong rumput, mobiliti elektrik bersaiz kecil dan teknologi robotik.

Langkah itu menjadikan Dreame antara beberapa syarikat teknologi yang mengurangkan atau membatalkan cita-cita dalam pasaran EV berikutan cabaran komersial dan perubahan keadaan pasaran global.

Sebelum ini, usaha sama Sony dan Honda melalui Sony Honda Mobility turut membatalkan pembangunan dan pelancaran model AFEELA 1 serta model susulannya selepas perubahan strategi elektrifikasi Honda.

Must Watch Video

Advertisement