Skip to main content

Teknologi

ECJ kekalkan denda €4.1 bilion terhadap Google dalam kes Android

51738661404_TBGoogle.jpg
Keputusan mahkamah tertinggi Kesatuan Eropah itu menamatkan pertikaian undang-undang selama lapan tahun yang bermula apabila Suruhanjaya Eropah mengenakan denda rekod €4.34 bilion terhadap Google pada 2018. -Gambar fail
Advertisement

LUXEMBOURG: Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (ECJ) menolak rayuan terakhir Google dan syarikat induknya, Alphabet, sekali gus mengekalkan denda antitrust berjumlah €4.125 bilion (kira-kira RM20 bilion) berhubung amalan perniagaan melibatkan sistem operasi Android.

Keputusan mahkamah tertinggi Kesatuan Eropah itu menamatkan pertikaian undang-undang selama lapan tahun yang bermula apabila Suruhanjaya Eropah mengenakan denda rekod €4.34 bilion terhadap Google pada 2018.

Ketika itu, pengawal selia mendapati Google menggunakan kedudukan dominannya dalam pasaran Android untuk memperkukuh kedudukan enjin carian Google Search dan pelayar Chrome.

Menurut Suruhanjaya Eropah, Google mewajibkan pengeluar telefon pintar yang mahu mendapatkan akses kepada Google Play Store supaya memasang Google Search dan Chrome secara prapasang pada peranti mereka.

Pada 2022, Mahkamah Am Kesatuan Eropah mengekalkan sebahagian besar dapatan tersebut tetapi mengurangkan jumlah denda kepada €4.125 bilion.

"Mahkamah Keadilan menolak rayuan yang dikemukakan oleh Google dan syarikat induknya, Alphabet, sekali gus mengesahkan penalti yang dikenakan terhadap mereka," menurut kenyataan rasmi ECJ.

Google pula menyatakan keputusan itu gagal mengambil kira pelaburan besar yang telah dibuat bagi memastikan Android kekal sebagai platform yang terbuka, serasi dan percuma.

Syarikat itu bagaimanapun berkata ia telah mengubah perjanjian dengan pengeluar peranti sejak 2018 untuk mematuhi ketetapan Suruhanjaya Eropah.

Keputusan tersebut dijangka mengukuhkan kedudukan pengawal selia Eropah ketika blok itu terus memperhebat penguatkuasaan terhadap syarikat teknologi utama melalui peraturan persaingan dan Akta Pasaran Digital (DMA).

 

Must Watch Video

Advertisement