KUALA LUMPUR: Kekangan mendapatkan bekalan air bersih di kawasan pedalaman, khususnya apabila sumber air semula jadi semakin terjejas akibat perubahan cuaca, mendorong penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membangunkan sistem rawatan air mudah alih yang boleh disesuaikan mengikut keperluan komuniti.
Penyelidik Utama, Prof Madya Dr Mohd Zainizan Sahdan berkata, idea menghasilkan sistem berkenaan tercetus daripada pengalamannya menjalankan kerja lapangan di beberapa perkampungan di Sabah, Kelantan, Pahang dan Terengganu bagi mengenal pasti masalah berkaitan bekalan air.
Menurutnya, pengalaman ketika berada di sebuah kawasan pedalaman di Sabah memberi kesan besar apabila penduduk yang sebelum itu bergantung kepada sumber air bukit mula berdepan masalah apabila sumber berkenaan mengering. Malah, beliau turut mengalami kesukaran mendapatkan air untuk kegunaan harian sepanjang berada di kawasan itu.
Keadaan tersebut mendorong pensyarah di Fakulti Pendidikan Teknikal & Vokasional, (UTHM) itu memikirkan keperluan membangunkan sistem rawatan air yang mudah dibawa dan dipasang di kawasan pedalaman tanpa memerlukan logistik berskala besar, sekali gus membolehkan air daripada pelbagai sumber dirawat untuk kegunaan penduduk.
"Menerusi Ittihad Maju Jaya Sdn Bhd, sistem rawatan air mudah alih ARVIK diperkenalkan dengan menggabungkan teknologi penapisan ultrafiltrasi (UF), sinaran ultraungu (UV) dan osmosis songsang (RO), bergantung kepada konfigurasi serta keperluan rawatan air di sesuatu lokasi.
"Sistem berkenaan dibangunkan bagi mengatasi beberapa kekangan sistem penapisan sedia ada, termasuk penggunaan komponen tertentu yang mahal dan sukar diperoleh, selain kebergantungan kepada bahan kimia yang memerlukan pengendalian oleh individu berkemahiran.
"ARVIK pula direka untuk memudahkan penyelenggaraan dan tidak menggunakan rawatan kimia dalam proses penapisan utamanya.
"Keupayaan sistem itu turut membolehkan kapasiti rawatan disesuaikan mengikut jumlah pengguna, termasuk melalui konfigurasi yang lebih kecil atau diperbesarkan," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Mohd Zainizan berkata, selain proses rawatan, sistem berkenaan dilengkapi teknologi Internet Benda (IoT) bagi membolehkan keadaan operasi dipantau menerusi telefon pintar.
"Sensor yang dipasang pada pam, misalnya, membantu mengesan gangguan operasi atau perubahan yang boleh menandakan kemungkinan kerosakan, sekali gus membolehkan kerja penyelenggaraan pencegahan dilakukan lebih awal.
"Bagi memastikan air yang dirawat selamat digunakan, sampel air daripada sumber asal akan diambil dan dihantar ke makmal bertauliah untuk dianalisis sebelum sistem direka mengikut ciri serta kandungan air berkenaan.
"Pemeriksaan kualiti air turut dilaksanakan secara berkala, lazimnya setiap tiga bulan, bagi memastikan parameter air terawat terus mematuhi piawaian kualiti air minum yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya.
Menurut beliau, sistem berkenaan juga mengambil kira aspek kelestarian sumber air bawah tanah dengan pengambilan air telaga tiub berpandukan garis panduan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Jelasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan kadar pengambilan air tidak melebihi kemampuan sumber berkenaan, sekali gus membantu mengekalkan bekalan secara berterusan, termasuk ketika musim kemarau atau gangguan bekalan air paip.
Manfaat projek itu turut melangkaui penyediaan air bersih apabila syarikat berusaha melibatkan penduduk setempat dalam kerja penyelenggaraan dan pengurusan sistem.
"Kerjasama bersama Yayasan Hasanah di Lahad Datu, Sabah, misalnya, turut merangkumi latihan kemahiran serta usaha mewujudkan koperasi komuniti yang boleh menjana pendapatan melalui aktiviti berkaitan sistem berkenaan, termasuk penternakan ikan.
"Dalam usaha memperluas pasaran, Ittihad Maju Jaya turut menyertai pameran di Filipina dan melihat peluang penggunaan teknologi rawatan air itu di negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Myanmar yang turut berdepan cabaran bekalan air.
"Bagaimanapun, syarikat mahu memperkukuh keupayaan pasukan serta operasi dalam negara terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh ke pasaran antarabangsa," katanya lagi.
Beliau berkata, platform seperti Festival Idea 2026 yang akan berlangsung di Putrajaya pada 17 hingga 19 November ini penting bagi membolehkan hasil penyelidikan dan kreativiti warga akademik diterjemahkan kepada produk yang boleh dikomersialkan.
"Usaha itu bukan sahaja membuka ruang kepada penyelesaian masalah masyarakat, malah berpotensi menjana pendapatan, menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup komuniti yang menerima manfaat daripada inovasi berkenaan," katanya.