MOUNTAIN VIEW: Google memperkenalkan ciri keselamatan dan produktiviti baharu, Expert Intelligence, yang membolehkan buku dalam akaun Google Play Books diproses secara langsung menerusi Gemini Notebook, lapor Amanz.
Kemas kini baharu pada aplikasi yang dahulunya dikenali sebagai NotebookLM itu membolehkan pengguna menghasilkan nota, ringkasan, audio podsiar (Audio Overviews), infografik serta kuiz rujukan secara automatik.
Melalui integrasi terbaharu ini, buku yang dibeli menerusi Google Play Books boleh dijadikan sumber rujukan secara terus tanpa pengguna perlu memuat naik dokumen berkenaan secara manual.
Kemudahan itu turut menawarkan fungsi interaktif antara muka yang membolehkan pengguna mengemukakan soalan mengenai kandungan buku atau mengarahkan Gemini mencari bahagian serta topik tertentu secara khusus.
Ciri kecerdasan buatan (AI) itu mula ditawarkan kepada pengguna hari ini dengan sokongan akses melibatkan lebih 100,000 naskhah e-buku daripada pelbagai penerbit terkemuka dunia.
Antara penerbit yang terlibat ialah Bloomsbury, De Gruyter Brill, Johns Hopkins University Press, Macmillan Publishers, O'Reilly Media serta Penguin Random House.
Bagi memperkukuh pengenalan sistem tersebut, Google turut menjalin kerjasama dengan 15 penulis terkenal bagi menghasilkan ciri Featured Notebooks yang bertujuan membantu pembaca mendapatkan rujukan tambahan serta pemahaman lebih mendalam mengenai kandungan buku terbabit.