GOOGLE hari ini memperkenalkan Nano Banana 2, juga dikenali sebagai Gemini 3.1 Flash Image, iaitu model penjanaan imej kecerdasan buatan (AI) terbaharu yang menawarkan peningkatan signifikan berbanding generasi sebelumnya.
Model ini dibina untuk menjana imej dengan lebih konsisten dan menghasilkan teks yang lebih jitu, lapor Amanz.
Advertisement
Nano Banana 2 memanfaatkan pangkalan pengetahuan dunia sebenar Gemini serta maklumat masa nyata daripada carian web bagi menjana imej, infografik dan diagram yang lebih tepat.
Ciri ini membolehkan pengguna menghasilkan visual yang lebih berkonteks, termasuk grafik pendidikan, carta dan kandungan data.
Google turut menambah baik kebolehan penjanaan teks dalam imej, termasuk terjemahan dan penyetempatan teks dengan ketepatan lebih tinggi.
Ia sekali gus mengurangkan masalah teks kabur atau tersilap ejaan yang lazim dalam model sebelum ini.
Dari aspek konsistensi visual, model baharu ini mampu mengekalkan sehingga 14 objek dalam satu janaan bersiri, selain memastikan watak atau subjek utama kekal stabil antara setiap imej.
Pengguna juga boleh menjana imej sehingga resolusi 4K serta dalam pelbagai nisbah mengikut keperluan projek.
Nano Banana 2 kini ditawarkan secara berperingkat dalam aplikasi Gemini serta beberapa perkhidmatan Google lain. Ia menggantikan model terdahulu sebagai pilihan lalai bagi kebanyakan mod penjanaan imej.