Skip to main content

Teknologi

Google rancang pindah pengeluaran semua peranti Pixel keluar dari China pada 2027

https://amanz.my/2026577568
Langkah itu dilaporkan diambil ketika syarikat teknologi global terus mempelbagaikan rantaian bekalan mereka susulan ketegangan perdagangan yang berpanjangan antara Amerika Syarikat dan China. -Foto Amanz
Advertisement

SAN FRANCISCO: Google dilapor merancang memindahkan sepenuhnya pengeluaran telefon pintar Pixel, jam tangan pintar dan fon telinga keluar dari China secara berperingkat bermula 2027.

Memetik laporan Nikkei Asia, syarikat induk Google, Alphabet Inc, telah memaklumkan kepada rakan kongsi rantaian bekalannya mengenai perubahan strategi pengeluaran tersebut.

Langkah itu dilaporkan diambil ketika syarikat teknologi global terus mempelbagaikan rantaian bekalan mereka susulan ketegangan perdagangan yang berpanjangan antara Amerika Syarikat dan China.

Menerusi pelan berkenaan, operasi pemasangan dan pengeluaran peranti Pixel akan diperluaskan ke Vietnam dan India, yang semakin memainkan peranan penting sebagai pusat pembuatan elektronik serantau.

Google sebelum ini telah meningkatkan kapasiti pengeluaran di kedua-dua negara tersebut dan berjaya membangunkan serta mengeluarkan model Pixel premium di Vietnam, sekali gus meningkatkan keyakinan syarikat untuk memindahkan lebih banyak operasi pengeluaran keluar dari China.

Selain itu, Google turut menyasarkan peningkatan penghantaran telefon pintar Pixel sebanyak antara lapan hingga 10 peratus tahun ini berbanding kira-kira 12 juta unit yang dihantar pada tahun sebelumnya.

Langkah berkenaan dilihat selari dengan usaha beberapa syarikat teknologi utama lain, termasuk Apple dan Samsung, untuk mempelbagaikan rantaian bekalan serta mengurangkan kebergantungan kepada satu negara pengeluaran.

Penganalisis berkata strategi sedemikian yang pada awalnya didorong oleh gangguan rantaian bekalan ketika pandemik COVID-19 kini semakin dipengaruhi oleh faktor geopolitik, kos operasi dan pengurusan risiko jangka panjang.

Must Watch Video

Advertisement