GADGETS
HoloMem mahu gantikan pita magnetik sebagai storan digital jangka masa panjang

Teknologi ini mampu menyimpan sehingga 200TB data per katrij dengan jangka hayat 50 tahun, jauh mengatasi kapasiti dan ketahanan storan pita magnetik tradisional. -Amanz
TEKNOLOGI storan kini dilihat semakin maju, dengan pilihan pengguna dan syarikat-syarikat dilihat semakin tinggi, bergantung kepada keperluan mereka.
Ringkasan AI
- HoloMem, sebuah syarikat pemula teknologi, sedang membangunkan storan holografik menggunakan riben hologram sebagai alternatif jangka panjang kepada pita magnetik.
- Teknologi ini mampu menyimpan sehingga 200TB data per katrij dengan jangka hayat 50 tahun, jauh mengatasi kapasiti dan ketahanan storan pita magnetik tradisional.
- HoloMem menjanjikan keserasian dengan sistem storan sedia ada tanpa keperluan naik taraf perkakasan, dan menggunakan cahaya infra-merah kos rendah untuk membaca dan menulis data.
Charlie Gale, pengasas HoloMem telah mencipta pelekat hologram sekuriti sewaktu bekerja di Dyson, dan kini memegang paten untuk teknologi tersebut.
Ciri hologram ini pada mulanya digunakan untuk memperlihatkan kod QR holografik multiplex yang dinamakan HO1O yang membolehkan dua kod QR untuk ditindih dan digunakan sebagai satu cara untuk mengesahkan kesahihan sebuah produk.
Menariknya, beliau juga mendapati bahawa teknologi holografik ini boleh ditindih banyak kali, yang membolehkannya digunakan sebagai sejenis storan.
Dan dari situlah idea untuk menubuhkan HoloMem sebagai sebuah syarikat pembangun storan dihasilkan.
Kelebihan yang diperlihatkan oleh teknologi storan seperti Cerabyte dan Project Silica yang menggunakan kaca sebagai medium storan ialah ia memerlukan perkakasan laser yang berkuasa tinggi, dan mempunyai kos pembangunan yang mahal.
Untuk HoloMem, walaupun ia secara teknikalnya memerlukan cahaya untuk menulis dan membaca data, sumber cahaya yang diperlukan adalah seperti cahaya infra-merah yang sudah pun boleh dihasilkan dengan harga murah.
Kelebihan menggunakan storan “holografik” ini ialah ia bukan sahaja boleh menyimpan jumlah data yang banyak, tetapi juga mempunyai tempoh penyimpanan data yang lebih lama berbanding dengan pita magnetik.
Di mana storan pita magnetik secara lazimnya boleh menyimpan kira-kira 18TB data dalam satu katrij dan bertahan selama 10 ke beberapa belas tahun, HoloMem mengatakan storan mereka mempunyai potensi penyimpanan data sebanyak 200TB untuk setiap katrij dengan jangka hayat selama 50 tahun.
Satu lagi kelebihan yang diperlihatkan melalui penawaran HoloMem ialah produk storan mereka akan menyokong teknologi storan sedia ada, dan pemilik perniagaan atau pusat data tidak perlu menaiktarafkam mesin pelayan untuk menggunakan storan ini.
Teknologi ini masih lagi sedang dibangunkan, dan buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah storan HoloMem ini akan diperkenalkan ke pasaran. -Amanz
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami