Berita Terkini ASEAN25: Kenyataan Trump mengenai Laut China Selatan dinantikan - Penganalisis

Trump dijangka fokus pada peranan simbolik, bukan isu Laut China Selatan, semasa Sidang Kemuncak ASEAN. - Reuters
KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai isu Laut China Selatan dinantikan oleh pemerhati geopolitk dan geoekonomi.
Ringkasan AI
- Pemerhati geopolitik menantikan sama ada Trump akan nyatakan pendirian tegas mengenai Laut China Selatan semasa Sidang Kemuncak ASEAN.
- Sufian Jusoh menjangka Trump tidak akan menyentuh isu itu, sebaliknya fokus kepada peranan simbolik dalam pemeteraian damai Thailand-Kemboja.
- Kehadiran Trump dilihat sebagai ujian sama ada beliau hadir sebagai individu berkepentingan peribadi atau mewakili persona kuasa besar dunia.
"Saya berminat untuk melihat sama ada Trump akan menyuarakan sebarang pendirian mengenai Laut China Selatan. Adakah dia akan bercakap mengenai UNCLOS (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut), kod etika dan sebagainya?
“Bagi pemerhati isu geopolitik dan geoekonomi menantikan isyarat yang akan diberikan oleh Trump ketika kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam hal ini, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sufian Jusoh berbeza pandangan, dengan menyatakan bahawa Trump tidak akan membuat sebarang kenyataan bermakna mengenai Laut China Selatan.
Sebaliknya, Sufian berkata Trump hanya berminat untuk meletakkan dirinya di tengah-tengah tumpuan umum ketika pemeteraian damai antara Thailand-Kemboja yang akan berlaku semasa Sidang Kemuncak ASEAN akan datang, demi mengukuhkan dakwaan mengenai dirinya sebagai pengaman dunia.
"Daripada maklumat yang saya terima, Trump akan cuba untuk pastikan perjanjian damai antara Thailand-Kemboja ditandatangani di Kuala Lumpur. Beliau mahu ada ketika itu berlaku.
“Saya tidak berpandangan Trump akan buat sebarang pengumuman mengenai AS yang akan cuba mengambil tanggungjawab mengenai Laut China Selatan,” ujarnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober melibatkan ketua negara ASEAN serta pemimpin negara rakan dialog.
Selain pemimpin ASEAN, lebih 20 pemimpin dunia dijadual menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Trump, dan ini merupakan penglibatkan kedua Trump dalam Sidang Kemuncak ASEAN serta kehadiran pemimpin utama AS ketiga ke dalam negara selepas Barack Obama pada 2014 dan Lyndon Johnson pada 1966.
Turut dijadualkan hadir, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Kesatuan Eropah Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.
Filipina akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 2026.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


