KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi antara pasaran penting HONOR di Asia Tenggara ketika syarikat itu memperluas hala tujunya daripada pengeluar telefon pintar kepada ekosistem peranti berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Jualan Saluran HONOR Malaysia, Tan Pei Ling berkata, perkembangan itu disokong oleh penerimaan pengguna tempatan yang semakin kukuh serta permintaan terhadap teknologi yang lebih mudah digunakan dalam kehidupan seharian.
HONOR merekodkan 21 peratus bahagian pasaran keseluruhan telefon pintar Malaysia pada suku pertama 2026, manakala siri HONOR X kekal sebagai siri telefon pintar kelas pertengahan terlaris bagi empat generasi berturut-turut dari Februari 2023 hingga Mac 2026.
“HONOR bukan sekadar pengeluar telefon pintar, ia kini berkembang sebagai syarikat ekosistem peranti AI.
“Hala tuju kami adalah untuk terus membawa inovasi premium dan teknologi AI kepada lebih ramai pengguna, bukan sahaja melalui telefon pintar tetapi juga menerusi ekosistem peranti pintar yang lebih menyeluruh,” katanya.
Pei Ling berkata, kedudukan Malaysia dalam strategi HONOR turut diperkukuh apabila negara ini menjadi pasaran pertama di luar China yang menampilkan robot humanoid HONOR Robotics A1 dan D1 kepada orang ramai.
Kedua-dua robot itu diperkenalkan menerusi Malaysia Marathon 2026 sebelum muncul dalam perarakan sambutan Hari Kebangsaan.
Menurutnya, langkah itu mencerminkan peranan Malaysia bukan sekadar sebagai pasaran pengguna, tetapi juga sebagai antara platform penting HONOR untuk memperkenalkan inovasi baharu di peringkat antarabangsa.
“Malaysia bukan sekadar sebuah pasaran bagi HONOR. Malaysia juga merupakan rakan penting dalam perjalanan kami untuk membawa inovasi HONOR ke peringkat global,” katanya.
Pada masa sama, HONOR turut memperkenalkan identiti jenama dan slogan baharu, “Dare to Be”, yang mencerminkan fasa baharu syarikat ketika memperluas pembangunan dalam bidang AI dan teknologi pintar.
Pei Ling berkata, penjenamaan semula itu membawa mesej bahawa HONOR mahu terus mencabar kebiasaan, meneroka teknologi baharu dan membina hubungan yang lebih dekat dengan generasi muda.
HONOR juga bakal memperkenalkan HONOR X9e Pro di Malaysia selepas model itu diberikan kemunculan awal ketika sambutan Hari Kebangsaan.
Menurut beliau, model berkenaan akan memberi penekanan kepada peningkatan kapasiti bateri, ketahanan jatuh serta rintangan air yang lebih baik, sejajar pendekatan syarikat untuk menawarkan pengalaman premium pada harga yang lebih mudah dicapai.
HONOR kini mempunyai 136 HONOR Experience Store dan 22 pusat servis berdaftar di seluruh negara.
Melangkah ke hadapan, syarikat itu melihat Malaysia sebagai antara pasaran utama untuk memperluas ekosistem AI serta memperkenalkan lebih banyak peranti pintar yang boleh saling berhubung dan berfungsi dalam satu ekosistem.