Skip to main content

Teknologi

ILMU-Nemo-30B lonjak AI Malaysia ke tahap global

YTL, AI, ILMU
Model ILMU-Nemo-30B turut memperluas rangkaian model AI buatan Malaysia dengan menawarkan keupayaan dipertingkat bagi melaksanakan tugasan kompleks yang memerlukan pemahaman mendalam terhadap konteks tempatan.

KUALA LUMPUR: Dalam landskap kecerdasan buatan (AI) yang semakin kompetitif, YTL AI Labs memantapkan lagi langkah Malaysia ke hadapan dengan memperkenalkan model baharu, ILMU-Nemo-30B, sebuah pembangunan strategik hasil kerjasama dengan NVIDIA yang menumpukan kepada keupayaan AI berdaulat berteraskan data dan konteks tempatan.

Inisiatif ini menyaksikan pembangunan model agentik berkuasa yang disesuaikan dengan set data tempatan Malaysia sekali gus mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 23 peratus dalam skor penanda aras MalayMMLU.

Advertisement

Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan keupayaan teknikal model berkenaan, malah menegaskan komitmen YTL AI Labs dalam membina ekosistem AI kebangsaan yang kukuh, selamat dan berprestasi tinggi.

Model ILMU-Nemo-30B turut memperluas rangkaian model AI buatan Malaysia dengan menawarkan keupayaan dipertingkat bagi melaksanakan tugasan kompleks yang memerlukan pemahaman mendalam terhadap konteks tempatan.

Dibangunkan menggunakan rangka kerja NVIDIA NeMo, model ini dilatih melalui kerjasama rapat antara jurutera penyelidik YTL AI Labs dan NVIDIA, menggunakan set data tempatan yang dihoskan di platform YTL AI Cloud yang selamat.

Pendekatan ini sekali gus meneguhkan kedudukan Malaysia dalam membangunkan AI bertaraf dunia yang selari dengan nilai budaya, linguistik dan etika tempatan.

ILMU-Nemo-30B direka khusus untuk memahami serta menghasilkan kandungan dalam Bahasa Melayu dan dialek tempatan dengan cemerlang sekali gus membuktikan keupayaannya mengendalikan pelbagai pertanyaan dan tugasan kompleks merangkumi sektor perkhidmatan awam hingga ke penyelesaian perusahaan.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, kerjasama dengan NVIDIA menjadi pemangkin penting dalam usaha membangunkan keupayaan AI berdaulat negara di samping menggabungkan kekuatan teknologi global dan kepakaran tempatan.

“Inisiatif bersama NVIDIA ini merupakan lonjakan bermakna dalam misi kami untuk membangunkan keupayaan AI berdaulat untuk Malaysia.

“Dengan menggabungkan teknologi AI NVIDIA bersama kepakaran tempatan YTL yang mendalam dan infrastruktur kebangsaan, kami mencipta sebuah enjin inovasi yang berkuasa.

“Model ILMU-Nemo-30B menjadi bukti bahawa apa yang boleh dicapai apabila kekuatan global diselaraskan dengan matlamat kebangsaan, sekali gus memastikan kemajuan AI yang dicapai adalah selamat, inklusif, dan berteraskan identiti negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sebagai pelengkap kepada ILMU, model bahasa skala besar multimodal pertama buatan Malaysia, ILMU-Nemo-30B menyediakan pilihan alatan lebih luas kepada pembangun dan perusahaan untuk membina aplikasi AI canggih.

Dihoskan di YTL AI Cloud, model ini menjamin pemastautin serta keselamatan data, menjadikannya pilihan utama bagi sektor kerajaan dan industri yang mengendalikan data sensitif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, AI Labs pula menegaskan komitmen berterusan syarikat dalam memacu inovasi melalui pembangunan model yang disesuaikan dengan keperluan tempatan bagi membuka ruang kepada organisasi untuk membina penyelesaian lebih pintar dan kompetitif.

“Kami komited untuk terus memacu inovasi dalam perjalanan pembangunan ILMU.

“Kami menyediakan akses kepada model agentik tercanggih yang telah disesuaikan mengikut keperluan tempatan khusus untuk pembangun dan perniagaan di Malaysia. Ia memberi mereka alat untuk membina penyelesaian yang lebih pintar, berkesan, dan selari dengan budaya untuk bersaing di peringkat global.

“Kami menjemput rakan-rakan kami untuk menerokai potensi baharu yang ditawarkan oleh model ini,” jelasnya.

Dilancarkan pada Sidang Kemuncak AI ASEAN pada Ogos tahun lalu, ILMU merupakan AI Malaysia yang dibangunkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia, dengan penekanan terhadap sensitiviti budaya serta daya saing global.

Rangkaian model ILMU kini boleh diakses melalui API dan telah mula digunakan oleh organisasi seperti Farben, J&C Pacific dan Swipey dalam aplikasi masing-masing.

Dalam masa sama, ILMUchat, aplikasi chatbot AI buatan Malaysia kini tersedia dalam versi beta awam dan boleh dimuat turun menerusi Apple App Store serta Google Play.

Untuk maklumat lanjut, layari www.ytlpowerinternational.com.

Must Watch Video