SUBANG: Kesesakan di plaza tol yang sering menjadi rungutan pengguna lebuh raya, khususnya ketika waktu puncak dan musim perayaan, dijangka dapat dikurangkan menerusi pelaksanaan JustGO, sistem pembayaran tol berasaskan nombor pendaftaran kenderaan yang disokong teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).
Sistem berkenaan kini dilaksanakan menerusi fasa percubaan di wilayah utara sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara, sekali gus menandakan perubahan ketara dalam cara pengguna melalui plaza tol sedia ada.
Berbeza dengan kaedah pembayaran konvensional seperti Touch 'n Go, SmartTAG dan RFID, JustGO memperkenalkan konsep Lane Freedom yang membolehkan pengguna memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong yang dilengkapi sistem ANPR tanpa memerlukan peranti tambahan.
Jurucakap JustGO Solutions Sdn Bhd, Peter Lee berkata, sistem tersebut dibangunkan bagi memudahkan urusan pembayaran tol selain membantu mengurangkan kesesakan di plaza tol.
“Menerusi JustGO, kita cuba untuk memudahkan perjalanan pelanggan tanpa kos pendaftaran dan tanpa keperluan peranti tambahan.
"Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO Malaysia, mendaftar kenderaan dan seterusnya boleh memasuki mana-mana lorong yang menyokong JustGO.
“Ini akan membantu mengurangkan kesesakan di plaza tol kerana pengguna tidak perlu lagi menukar lorong pada saat akhir untuk mencari lorong bayaran tertentu," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Plaza Tol Subang, di sini, pada Isnin lalu.
Menerusi aplikasi JustGO Malaysia, pengguna hanya perlu melengkapkan proses pendaftaran digital yang merangkumi pengesahan identiti, maklumat kenderaan dan kaedah pembayaran pilihan.
Selepas pendaftaran berjaya, sistem akan mengesan nombor plat kenderaan secara automatik apabila menghampiri plaza tol sebelum transaksi disahkan dan palang dibuka untuk membolehkan perjalanan diteruskan tanpa gangguan.
Selain menawarkan kemudahan pembayaran tol, aplikasi itu turut membolehkan pengguna mendapatkan penyata transaksi tol untuk tujuan rujukan dan tuntutan, selain menyediakan kemudahan e-Invois bagi memudahkan pengurusan perbelanjaan.
Menurut Peter, JustGO bukan sekadar satu lagi kaedah pembayaran tol, sebaliknya sebuah platform yang menawarkan pelbagai pilihan pembayaran kepada pengguna, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sistem pembayaran yang terikat kepada lorong tertentu.
Setakat ini, sistem berkenaan telah merekodkan lebih 750,000 transaksi sepanjang pelaksanaannya di wilayah utara, mencerminkan tahap penerimaan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna lebuh raya.
Malah, JustGO dilihat sebagai langkah paling konkrit ke arah pelaksanaan sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF) yang disasarkan Kementerian Kerja Raya menjelang 2027.
Peter berkata, perluasan penggunaan JustGO kini menjadi antara fokus utama syarikat, khususnya di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara-Selatan.
“JustGO sudah dilancarkan di bahagian utara iaitu dari Hutan Kampung hingga Sungai Dua, tetapi pada masa terdekat ini, kita akan meluaskan lagi penggunaan JustGO ke seluruh negara, dari Juru hingga Skudai, Lebuhraya Utara-Selatan dan dijangka kita akan bermula operasi pada bulan Ogos ini jika semua berjalan lancar,” jelasnya.
Menurut beliau, kadar penerimaan pengguna bakal menjadi faktor penting dalam mempercepatkan perluasan JustGO ke seluruh rangkaian lebuh raya di negara ini.
Bagi pengguna yang berminat untuk menjadi antara pengguna terawal, proses pendaftarannya cukup mudah menerusi pendekatan yang digelar sebagai “3D” iaitu Download, Daftar dan Drive.
Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO, melengkapkan pendaftaran identiti, maklumat kenderaan serta kaedah pembayaran digital sebelum menikmati konsep Lane Freedom apabila sistem itu diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.
Dengan momentum penggunaan yang terus meningkat, setiap pendaftaran baharu bukan sahaja membantu mempercepatkan peluasan sistem itu, malah membawa Malaysia selangkah lebih dekat ke arah pengalaman lebuhraya yang lebih lancar, pintar dan bersepadu pada masa hadapan.