SAN FRANCISCO: Syarikat media sosial Meta dilaporkan sedang membuat persiapan untuk melancarkan platform ejen kecerdasan buatan (AI) untuk pengguna yang dikenali sebagai Hatch, lapor Amanz.
Langkah itu bertujuan menyaingi platform seumpamanya yang berasaskan OpenClaw, dengan pelancaran dijangka dilakukan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, sama ada pada penghujung Ogos atau awal September.
Selain Hatch, Meta turut membangunkan model AI baharu secara dalaman di bawah nama kod Watermelon yang disasarkan untuk pelancaran sekitar Oktober sebagai sebahagian daripada usaha syarikat itu memperkukuh kedudukannya dalam pasaran AI.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, pernah menyuarakan kekecewaan kerana syarikat itu tidak berjaya menguasai platform telefon pintar seperti mana yang dilakukan Apple dan Google, sebelum memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi realiti terimbuh (AR).
Bagaimanapun, perkembangan pesat AI yang menyaksikan kemunculan pemain utama seperti OpenAI dan Anthropic mendorong Meta meningkatkan pelaburan serta mempergiat usaha merekrut bakat dan teknologi dalam bidang berkenaan.
Langkah agresif itu turut disokong peningkatan unjuran perbelanjaan modal Meta bagi 2026 kepada antara AS$130 bilion hingga AS$145 bilion untuk pembangunan infrastruktur AI.
Menurut laporan yang didedahkan sebelum ini, Hatch bakal mengintegrasikan keupayaan automasi merentasi beberapa perkhidmatan popular termasuk DoorDash, Etsy, Reddit, Yelp dan Microsoft Outlook, sekali gus membolehkan ejen AI melaksanakan tugasan pelbagai langkah secara automatik.
Pengenalan perkhidmatan itu dijangka membantu Meta menjana sumber pendapatan baharu selain pengiklanan, susulan pertimbangan syarikat berkenaan untuk menawarkan pelan langganan premium pada harga sehingga AS$199.99 sebulan.