Skip to main content

Teknologi

Meta kembalikan semula Facebook Creator Studio dengan peningkatan berasaskan AI

Meta Kembalikan Semula Facebook Creator Studio Dengan Peningkatan Berasaskan AI -- amanz
Berbeza dengan platform terdahulu, aplikasi terbaharu ini berfungsi sebagai pembantu digital berasaskan AI bagi membantu pencipta kandungan mengurus tugas harian dengan lebih cekap. -Foto Amanz
Advertisement

META dilaporkan memperkenalkan aplikasi baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang memfokuskan kepada sokongan pengurusan kandungan, sekali gus menghidupkan semula fungsi yang sebelum ini ditawarkan menerusi Facebook Creator Studio, lapor Amanz.

Langkah itu dibuat selepas syarikat tersebut menamatkan perkhidmatan Creator Studio pada 2023 bagi menyatukan ciri pengurusan kandungan di bawah Professional Dashboard dan Meta Business Suite.

Berbeza dengan platform terdahulu, aplikasi terbaharu ini berfungsi sebagai pembantu digital berasaskan AI bagi membantu pencipta kandungan mengurus tugas harian dengan lebih cekap.

Menurut Meta, sistem tersebut dilengkapi pembantu sembang pintar yang mampu membantu merancang strategi kandungan, menjana idea baharu serta mengenal pasti trend semasa.

Selain itu, ia turut menyediakan cadangan interaktif bagi meningkatkan capaian audiens.

Aplikasi berkenaan juga menawarkan fungsi pengurusan komen berasaskan AI yang boleh mengenal pasti maklum balas berkeutamaan tinggi serta menyediakan draf jawapan secara automatik mengikut gaya komunikasi pencipta.

Dalam pada itu, pengguna turut disediakan paparan kalendar kandungan bagi menyusun jadual penerbitan, ciri muat naik video secara pukal serta analitik prestasi yang lebih menyeluruh.

Sebaik sahaja aplikasi dibuka, sistem akan memaparkan senarai keutamaan harian, termasuk prestasi siaran terkini, perkembangan sasaran komuniti dan maklum balas yang memerlukan tindakan segera.

Buat masa ini, aplikasi tersebut sedang diuji dalam kalangan sebilangan kecil pencipta kandungan terpilih sebelum diperluas kepada pengguna lain secara berperingkat.

Must Watch Video

Advertisement