Skip to main content
Advertisement

Teknologi

Meta lancar Ray-Ban Meta Gen 3, edisi khas Lisa BLACKPINK

Ray-Ban Meta (Gen 3) dan Meta Glasses Edisi Lisa Dilancarkan – Bateri Lebih Tahan Lama -- AMANZ
Untuk model standard Ray-Ban Meta (Gen 3), pengguna ditawarkan 27 kombinasi warna dan lensa. Koleksi itu turut menampilkan reka bentuk baharu Aviator dan Zena selain mengekalkan model Wayfarer. -Foto Amanz
Advertisement

META hari ini mengumumkan pelancaran generasi baharu kaca mata pintar premium Ray-Ban Meta (Gen 3), lapor Amanz.

Majlis pelancaran global itu turut menyaksikan pengenalan siri edisi khas yang dibangunkan bersama Lisa daripada kumpulan BLACKPINK.

Bagi menangani kebimbangan berkaitan privasi, Meta turut memperkenalkan Ray-Ban Meta Audio, iaitu varian tanpa kamera yang memberi tumpuan kepada pengalaman audio terbuka berkualiti tinggi.

Untuk model standard Ray-Ban Meta (Gen 3), pengguna ditawarkan 27 kombinasi warna dan lensa. Koleksi itu turut menampilkan reka bentuk baharu Aviator dan Zena selain mengekalkan model Wayfarer.

Generasi ketiga itu hadir dengan reka bentuk yang lebih nipis, hujung tangkai bingkai boleh laras serta butang tindakan baharu yang boleh diprogramkan untuk mengaktifkan pelbagai fungsi.

Dari aspek kuasa, hayat bateri kini mencapai sehingga sembilan jam bagi setiap pengecasan penuh, meningkat daripada lapan jam pada generasi sebelumnya.

Peranti itu turut dilengkapi sistem enam mikrofon yang menurut Meta mampu mengurangkan sehingga 90 peratus bunyi latar belakang ketika panggilan suara dan interaksi AI.

Untuk fungsi rakaman, kamera sudut lebar 12 megapiksel mampu menghasilkan imej pegun dan video beresolusi 3K.

Meta turut mengesahkan sokongan rakaman audio spatial Dolby Atmos akan diperkenalkan melalui kemas kini perisian pada penghujung tahun ini.

Sementara itu, siri Meta Glasses menerima dua pilihan bingkai baharu iaitu Capri dan Nova. Meta turut memperkenalkan koleksi edisi khas bersama Lisa dan Kylie Jenner.

Model eksklusif Meta Adventurer LISA Edition dan Meta Capri LISA Edition hadir dengan kemasan bintang pada bingkai serta aksesori khas yang diinspirasikan oleh haiwan peliharaan Lisa.

Ray-Ban Meta (Gen 3) ditawarkan pada harga bermula AS$449 (kira-kira RM1,837) sepasang, manakala model khas Lisa dan Kylie Jenner dijual pada harga bermula AS$399 (kira-kira RM1,632).

Must Watch Video

Advertisement