BARCELONA: Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2023 bermula dengan baik selepas hampir 100,000 pengunjung dicatatkan hadir pada hari pertama, Isnin.

Situasi ini nyata menjadi petunjuk positif selepas dunia dibadai wabak COVID-19 yang turut memberi kesan besar kepada sesi ‘perhimpunan agung’ jenama teknologi mudah alih dunia ini.

Sejak pandemik melanda, MWC Barcelona antara yang menerima kesan besar selepas sesi tahun lalu hanya berjaya menarik sekitar 20,000 pengunjung, susulan beberapa jenama besar menarik diri pada saat akhir.

Tahun ini, banyak jenama besar teknologi mudah alih termasuk Samsung, Honor dan Xiaomi hadir untuk berkongsi pencapaian mereka.

Sehubungan itu, banyak juga sesi pelancaran dijangka meledakkan persaingan antara jenama-jenama besar ini.

Ia dimulakan dengan Honor yang buat pertama kalinya melancarkan telefon pintar boleh lipat pertamanya untuk pasaran global melalui model Honor Magic Vs.

Ini sekali gus menjadikan Honor jenama seterusnya untuk bersaing dengan Samsung dan Apple, bagi pasaran telefon pintar premium.

Bukan itu sahaja, persaingan siapa yang akan menerajui dunia Web 3.0 serta Metaverse turut dilihat bakal merancakkan MWC Barcelona 2023.

SK Telecommunication umpamanya kini giat memperluaskan kerjasama serantau untuk platform metaverse-nya melalui jenama Ifland.

Peserta beratur untuk mengikuti ucaptama perasmian MWC Barcelona 2023. - Foto Astro AWANI, Hilal Azmi

Difahamkan ada antara syarikat dari Malaysia turut bakal bekerjasama untuk memperluaskan penggunaan Ifland sebagai batu asas kepada perkembangan metaverse di seluruh Asia.

Selain itu, perkembangan aplikasi teknologi mudah alih generasi kelima, atau 5G, juga menjadi tema utama perbincangan dalam MWC Barcelona 2023.

Pada masa sama, syarikat tempatan seperti Axiata juga dijangka menandatangani beberapa memorandum persefahaman bagi menerokai potensi baru untuk merancakkan teknologi komunikasi mudah alih Malaysia.

Ikuti laporan lanjut Editor Niaga AWANI, Ibrahim Sani dan Editor Media Sosial & Penstriman Mikro Astro AWANI, Hilal Azmi yang mengikuti rapat perkembangan MWC Barcelona 2023, di seluruh platform Astro AWANI.

MWC 2023 | Perhimpunan pemain teknologi mudah alih dunia