OSLO: Kerajaan Norway sedang mempertimbangkan kawal selia lebih ketat terhadap cermin mata pintar dan peranti boleh pakai berkamera susulan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai risiko pencabulan privasi di tempat awam.
Langkah itu sedang dikaji berikutan kebimbangan bahawa individu boleh dirakam secara rahsia menggunakan peranti yang sukar dikesan oleh orang awam, lapor Amanz.
Menteri Digitalisasi dan Pentadbiran Awam Norway, Karianne Tung, berkata terdapat trend yang semakin ketara dalam penyepaduan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan kamera dan mikrofon yang dipasang pada cermin mata, fon telinga, topi serta aksesori harian lain.
Menurut beliau, kawal selia baharu diperlukan bagi mengelakkan teknologi berkenaan digunakan untuk memantau atau merakam individu di tempat awam tanpa pengetahuan mereka.
Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah larangan terhadap penggunaan ciri pengecaman wajah bagi mengenal pasti individu lain di kawasan awam.
"Kita dapat melihat kehidupan peribadi dan hak privasi masyarakat semakin tertekan akibat teknologi baharu.
"Oleh itu, saya mahu cermin mata pintar dan peranti seumpamanya dikawal selia dengan lebih ketat berbanding sekarang," kata Tung.
Beliau berkata kerajaan akan menubuhkan kumpulan pakar bagi menasihati kerajaan mengenai langkah yang sesuai untuk memperkukuh perlindungan privasi pengguna.
Sementara itu, kementerian turut menggesa badan awam, institusi pendidikan dan syarikat swasta menggubal garis panduan dalaman masing-masing berhubung penggunaan cermin mata pintar di premis dan tempat kerja sementara menunggu sebarang keputusan dasar dimuktamadkan.